Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com

Ahad, 2 September 2007

Mesyuarat 'rahsia' Kementerian Pengajian Tinggi mengenai pilihanraya kampus?

Satu siri menyuarat rahsia diadakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan dihadiri pegawai kementerian, wakil Umno dan pelajar pro-kerajaan, yang dipercayai untuk merangka strategi bagi membantu memastikan kejayaan calon-calon mereka dalam pilihanraya kampus akan datang.

Satu dokumen yang diperolehi malaysiakini, menunjukkan pihak kementerian menjemput timbalan naib canselor hal-ehawal pelajar di kesemua 17 universiti awam dan swasta untuk menghadiri salah satu mesyuarat tersebut, bertempat di ibu pejabat Umno pada 27 Julai.

Surat yang ditandatangani oleh ketua bahagian kebajikan kementerian berkenaan, Prof Madya Dr Muhammad Hussin, menyatakan bahawa mesyuarat tersebut yang dipanggil mesyuarat penyelarasan aktiviti pelajar universiti juga dihadiri pemimpin majlis pelajar universiti terbabit.

Dokumen yang dikembarkan bersama surat itu, mengandungi senarai aktiviti dan taklimat yang dirancang oleh pihak kementerian mulai bulan Ogos sehingga September ini, untuk pihak berkuasa kampus serta calon-calon pro-kerajaan (atau aspirasi kerajaan) bagi menghadapi pemilihan kampus kali ini, yang dijangka bulan depan.

Tajuk-tajuk taklimat tersebut menyentuh strategi untuk mempengaruhi calon-calon lawan supaya menarik dari daripada bertanding, taktik cara berkesan membuat bantahan, menyediakan rancangan sokongan, mengenalpasti strategi untuk memancing undi dan petua berkempen.

Adalah difahamkan bahawa wakil Pemuda dan Puteri Umno turut menghadiri mesyuarat-mesyuarat mingguan tersebut sejak Julai lalu.

Senarai penerima surat tersebut, termasuklah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Salleh dan Setiausaha Parlimennya, Dr Adham Baba.

Pemimpin terpilih

Apa yang berlaku ini dianggap selaras dengan percubaan-percubaan yang dibuat pada tahun-tahun sebelumnya dalam usaha untuk memastikan semua kampus dikuasai kumpulan aspirasi kerajaan. Pada masa ini tiga kampus dikuasai kumpulan anti-kerajaan (atau mahasiswa idealis).

Bagi Universiti Islam Antarangbangsa Malaysia (UIA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pihak kementerian telah menjemput wakil dari kelab aspirasi kerajaan, dan bukannya pemimpin majlis pelajar yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

(Di UIA, kebanyakan pelajar dilihat sebagai bersimpati kepada parti pembangkang, PAS).

Ketika dihubungi, Muhammad mengesahkan yang mesyuarat tersebut memang diadakan.

Ianya seperti mesyuarat kabinet. Kita membincangkan aktiviti pelajar, bagaimana mengendalikan pilihanraya kampus, tetapi kita tidak bincangkan bagaimana hendak berkempen untuk (calon) aspirasi kerajaan, katanya.

Beliau menafikan yang mesyuarat tersebut diadakan kerana pilihanraya kampus akan diadakan bulan depan, kerana menurutnya, ia sudah lama diamalkan.

Bagaimanapun, ini bercanggah dengan kandungan surat tersebut, yang menyatakan bahawa mesyuarat pada 27 Julai itu adalah yang kedua diadakan.

Ditanya mengapa mesyuarat tersebut diadakan di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), beliau menjawab: Mengapa tidak? Kita mampu (mengadakannya) di Hotel Pan Pasifk, jadi kami menyewa (bilik) di pejabat Umno kerana lebih murah.

Tetapi kami juga pernah mengadakan mesyuarat di tempat-tempat seperti Hotel Vistana dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Muhammad mendakwa, pemimpin pelajar yang pro-kerajaan dijemput menghadiri mesyuarat tersebut kerana pihak kementerian meminta kerjasama mereka untuk melancarkan aktiviti berkaitan Rukun Negara.

Pemimpin majlis pelajar UIA dan UPSI bukan dari kumpulan aspirasi, sebab itulah kami tidak menjemput mereka. (Sebaliknya) kami menjemput pemimpin kelab pelajar aspirasi, kata beliau ketika ditanya mengenainya.

Komen bercanggah

Mengenai kehadiran wakil Pemuda dan Puteri Umno dalam mesyuarat tersebut, Muhammad berkata: Kita tidak menjemput mereka. Tetapi mereka hadir, takkanlah kami hendak meminta mereka keluar, kan?.

Bagaimanapun, ia bercanggah dengan komen ketua biro pendidikan Puteri Umno, Nolee Ashilin Mohamed Radzi, yang mengesahkan menghadiri mesyuarat tersebut atas jemputan pihak kementerian.

Nolee yang pada mulanya telah menafikan hadir di mesyuarat tersebut mengesahkan kehadirannya hanya selepas ditanya berulangkali tetapi menegaskan yang ia tiada kena mengena dengan pilihanraya kampus.

Saya dijemput selaku biro pendidikan Puteri Umno. Kami bekerjasama dengan pihak kementerian untuk menyediakan latihan pembinaan kerjaya untuk sisawazah wanita, termasuk kemahiran temuduga...kami menurunkan pengalaman profesional kami, katanya.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa Puteri Umno terbabit dalam melatih calon-calon pro-kerajaan, sambil menegaskan yang pergerakan tersebut tidak pernah campurtangan dalam pilihanraya kampus.

Manakala ketua biro pendidikan Pemuda Umno, Ahmad Ikmal Ismail, yang dikatakan turut menghadiri mesyuarat tersebut, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan daripadanya.

Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Alias Mohd Noor, yang merupakan antara yang dijemput menghadiri mesyuarat tersebut, ketika dihubungi, enggan mengulas mengenainya.

Saya tidak boleh membuat sebarang kenyataan kepada media...kami kena marah dengan menteri. Ada arahan supaya jangan bercakap dan memang terdapat pekeliling mengenainya,katanya tapi enggan mengulas lanjut.

Pada tahun 1998, berikutan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kelahiran gerakan reformasi, kumpulan anti-kerajaan berjaya menguasai beberapa buah universiti.

Bagaimanapun, kumpulan pro-kerajaan berjaya menguasainya semula beberapa tahun lalu di mana terdapat berlaku salahlaku, politik wang dan penggunaan taktik ugutan sewaktu pilihanraya kampus.

Pilihanraya kampus menjadi tumpuan ramai kerana keputusannya akan mencerminkan kecendurungan sokongan para pelajar sama ada kepada PAS atau Umno.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum w.t.b

sampai macam begitu sekali suasana ipta di malaysia sekarang ye.kalau boleh saya nak kan butiran lanjut tentang perbuatan dan tipu helah HEP dan mpp dan kroni-kroni nyer di utmkl.ana harap penerbit blog ini dapat menerbitkan nyer.bagi kesedaran skit kat student-student sekarang.

Tanpa Nama berkata...

Ada beberapa persoalan yang bermain di fikiran saya;
1)Wakil pelajar tu tak bersalah ke kalau mengikut Auku?(sila rujuk Akta Universiti Kolej Universiti seksyen 15(a)(b))
2)Kenapa Umno begitu terdesak sehingga terpaksa mengheret TNC-TNC dan balaci(wakil Pro Aspirasi) ke mesyuarat tersebut?
3)Kalau mereka bersalah menurut Auku kenap tidak diambil tindakan. Undang-undang Malaysia ni selektif kepada golongan tertentu je ke?(khususnya dikenakan kepada golongan bukan pro ASPIRASI)
4)Dimana nilai-nilai intelekstual TNC-TNC sehingga boleh terheret untuk mengikut mesyuarat tersebut.
5)Beginikah caranya Umno mengekalkan kuasa?

Sedarlah sahabat-sahabat ku di pihak aspitrasi. Kamu sebenarnya dipergunakan oleh orang yang berkepentingan duit semata-mata.
Adakah kamu diserap dalam Umno bila kamu keluar kampus nanti? Jawapannya pasti tidak! kerana mereka tahu kamu boleh"digula-gulakan" oleh mereka. Yang menonjol dalam Umno tu budak rempit dari Oxford jugak. Seorang yang beprnisip Machevelli, seorang munafik tegar.
Fikir-fikirkanlah.. Kamu SEMUA MAHASISWA BUKAN BUDAK SEKoLAH..Kepada MPP dengarlah suara kami. Buanglah rantai besi yang membeleggu leher kamu.

Tanpa Nama berkata...

Kepada MPP dengarlah suara kami. Buanglah rantai besi yang membeleggu leher kamu.

buangkan dulu kat kepala anda sekalian...blaja dulu....ish..

Tanpa Nama berkata...

Mengetahui perkara yang betul tidak memadai dan bermakna jika tidak melakukan perkara yang betul