Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com

Sabtu, 1 September 2007

Mahasiswa Malaysia Hanya Milik UMNO?

Oleh ahmadfawwaz

Paranoid. Diskriminasi. Hipokrit. Ini sebahagian label yang selayaknya dikalungkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi khususnya kepada Menteri Dato’ Mustafa Muhammad. Kenyataannya dalam Berita Harian dan tindakan susulannya jelas menunjukkan satu isyarat ugutan kepada mahasiswa di Malaysia. Mahasiswa dalam konteks ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah kepada mereka yang tidak menyokong kerajaan Barisan Nasional.

Siri-siri pilihan raya kecil dalam tempoh 2004 hingga 2007 telah dijadikan sebagai satu medan pencabulan amanah semua Naib Cancelor, Timbalan Naib Cancelor, pegawai dan pencacai Hal Ehwal Pelajar di seluruh IPTA di Malaysia. Kerajaan Barisan Nasional dengan sewenang-wenangnya mengarahkan seluruh puppet (baca:barua) IPTA untuk mengugut mahasiswa yang tidak menyokong kerajaan diambil tindakan tatatertib di bawah AUKU (akta drakonian) sekiranya mereka dilihat membantu pihak pembangkang sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

Pemerkosaan di Institusi Pengajian Tinggi Awam bukanlah satu perkara yang baru. Jawatan-jawatan seperti Naib Cancelor, Timbalan Naib Cancelor, Pengarah Hal Ehwal Pelajar, dekan-dekan fakulti, pengetua-pengetua kolej termasuklah Majlis Perwakilan Pelajar adalah posisi-posisi strategik untuk dikudakan oleh UMNO. Ini tidak termasuk sebahagian posisi di bahagian unit tatatertib dan divisi kewangan universiti yang mungkin juga diguna pakai oleh UMNO untuk memuaskan serakah mereka.

Jelasnya, proksi-proksi UMNO di kampus Malaysia ini seolah-olah merasakan mereka ini tidak dipertanggungjawabkan dengan akta universiti mahupun AUKU sendiri. Sebagai contoh, bagaimanakah biro Pemuda UMNO boleh mempengerusikan mesyuarat bersama dengan semua TNC secara berkala di sekitar hotel-hotel Lembah Klang? Apakah nilai intelektual seorang TNC apabila diarahkan oleh seorang balaci UMNO untuk menjayakan agenda imperialis UMNO di kampus? Apakah pula kelayakan pegawai-pegawai HEP di kampus untuk mengkoordinasikan badan-badan pelajar sedangkan mereka tidak pernah bergiat aktif dengan kegiatan sosial sewaktu di kampus? Dan lebih teruk lagi, mereka ini pula yang menganggotai Jentera Mahasiswa Aspirasi untuk pilihan raya kampus saban tahun? Ini hanyalah di antara modus operasional pihak tertinggi universiti untuk mendoktrin mahasiswa supaya hanya mengundi UMNO atau Barisan Nasional dan lupakan yang lain. Ini juga adalah satu strategi saraf mereka untuk menanamkan budaya mahasiswa angguk kepada kerajaan dan lebih kronik lagi apabila mereka telah berjaya memandulkan Gerakan Mahasiswa Islam di kampus dengan ajaran ‘fear & abolish!

Optimisnya secara peribadi berpendapat bahawa reformasi penstrukturan keseluruhan tapak karat UMNO di Malaysia mampu di bersihkan menjelang tahun 2020. Teori ini cuba digagaskan apabila kita menyedari walaupun hampir kesemua kerusi MPP IPTA di Malaysia ini di’kata’kan adalah milik Aspirasi-BN, namun kualiti dan kontribusi yang dibuat oleh mereka tidak layak untuk dibanggakan. Secara kasarnya, kerusi-kerusi MPP pada sesi kali ini hanya 2% sahaja milik balaci UMNO dan selebihnya adalah mahasiswa tajaan UMNO yang hanya ingin terlibat untuk menyumbang sesuatu kepada universiti dan untuk kemaslahatan masa depan diri sendiri. Segelintir kecil itu pula tidak mempunyai pemahaman dan idealisme yang jelas untuk membawa agenda UMNO di kampus.

Maka, HEP akan memainkan peranan untuk menyusun almanac dan agenda tahunan MPP tersebut dan golongan 2% ini pulalah yang hanya tahu melaksanakan. MPP Aspirasi ini pula terlalu bermegah dengan kedudukan mereka sehingga terlupa untuk mencabut sticker-sticker Pemuda UMNO di kereta, bilik malah di almari mereka juga. Mungkin sebab terlalu sibuk dengan perancangan peribadi, bermesyuarat bersama GPMS dan KPT dan mungkin juga disebabkan ‘lawatan-lawatan percutian’ di Beijing, Mesir dan Australia. Sudah pastinya, peruntukkan untuk ‘lawatan sambil belajar’ ini menggunakan duit universiti atau suntikan dana dari KPT. Program-program anjuran MPP dan Jawatan Kuasa Kolej Kediaman juga sering kali dikolobrasikan dengan logo UMNO atau dengan menjemput pemimpin-pemimpin UMNO peringkat kawasan sebagai ahli panel ataupun speaker program.

Rentetan daripada itu, untuk menguatkan lagi penyuburan doktrinisasi UMNO di kampus, maka mereka akan menggunakan sepenuhnya program Haluan Siswa atau orientasi pelajar sebagai platform awal memperkenalkan figura-figura proksi UMNO di kampus. Tidak dilupakan, program wajib hadir Biro Tata Negara juga dipergunakan sepenuhnya untuk meracuni dan mencandu minda bersih mahasiswa supaya bencikan pembangkang, bencikan front mahasiswa yang menuntut kebenaran dan keadilan dan bencikan juga pemimpin-pemimpin mahasiswa yang tidak menyokong kerajaan. Tetapi, yang janggalnya mereka langsung tidak mampu menunjukkan model kepimpinan yang karismatik, beridealisme, berjiwa rakyat, bermoral tinggi dan sebaliknya.

Jadi, kalau inilah mahasiswa aspirasi harapan perjuangan UMNO untuk meneruskan survival mereka menjelang tahun 2020, maka bersiap sedialah untuk menunggu saat kejatuhannya. Peluang inilah yang seharusnya digunakan oleh mahasiswa idealis yang sering kali dilabelkan dengan pro-pembangkang. Walaupun diugut, diheret ke mahkamah universiti, dikenakan community services, digantung dan dibuang pengajian, dicemuh dan lain-lain tetapi komited dengan arus perjuangan. Hanya mereka-mereka yang mampu mendepani cabaran inilah yang boleh dinobatkan sebagai ‘dream team’ untuk berkhidmat kepada rakyat, untuk agama dan negara. Sekali lagi ditegaskan, kalaulah kerajaan atau KPT sering kali memanipulasi perlembagaan dengan berkonsepkan ‘law of the jungle’ dan mempergunakan mahasiswa hanya untuk kepentingan politik sempit mereka maka ia tidak merugikan mahasiswa idealis ini tetapi sebaliknya merugikan UMNO dan kerajaan sendiri. Kita juga percaya, kehebatan mahasiswa aspirasi di kampus hanya sekadar kosmetik luaran yang disuntik botox dan ramuan tiruan semata-mata dan bukannya kehebatan yang asli. Sekadar pandangan.

suara mahasiswa
suara rakyat

Tiada ulasan: