Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com

Isnin, 31 Mei 2010

Israel Lancar “Operasi Angin Laut” Halang Armada Kemanusiaan Gaza “Freedom Flotilla “


May 30, 2010

30 Mei – Pasukan ketenteraan Israel kini di bawah pengawasan dan arahan terus dari kerajaan Israel, telah bersedia untuk misi yang mereka namakan “Operation Sky Wind” / Operasi Angin Laut” bagi menyerang dan menangkap aktivis armada bantuan kemanusiaan Gaza atau Freedom Frotilla yang akan bergerak menuju ke Gaza dalam masa terdekat.

Sumber Israel melaporkan bahawa angkatan laut telah bersiapsedia dengan semua persiapan untuk pengambilalihan kapal-kapal tersebut, samada secara paksa jika perlu, dalam usaha untuk mengelakkan daripada konvoi tersebut berlabuh di pantai Gaza. Operasi ini dipimpin langsung oleh Komando Angkatan Laut Israel Mayor Jenderal Elizer Marom

Serangan yang dirancang meliputi empat tahap;

1. Tahap Amaran; Tentera Laut akan sentiasa berusaha untuk menghentikan kapal dari menghampiri garis sempadan yang ditentukan yang dikategori sebagai garis merah, apabila kapal menceroboh garis yang ditentukan, mereka akan diberi amaran bahawa mereka telah “melanggar undang-undang”.

2. Hentikan dan mengawal kapal-kapal tersebut; sekiranya kapal-kapal gagal mematuhi arahan Tentera Laut Israel, tentera laut Israel akan menyerang dan seterusnya mengambilalih lapan buah kapal yang mengangkut hampir 800 aktivis. Kapal-kapal akan dibawa ke Asdod Port dan aktivis akan ditahan di sebuah khemah besar yang telah dipasang untuk tujuan ini.

3. Diasingkan dan dihantar balik; tentera dan polis Israel memerintahkan para aktivis ditahan untuk menandatangani kenyataan menerima untuk dihantarbalik ke negara asal mereka, dan akan dihantar pulang melalui udara di Lapangan Terbang Ben Gurion.

4. Penangkapan sebelum dihantarbalik; sekiranya aktivis enggan dan menolak untuk menandatangani kenyataan untuk dihantar balik ke negara asal, mereka akan ditangkap, dihantar untuk pemeriksaan perubatan, kemudian dipindahkan ke Brigade Nahason milik Pentadbiran Penjara Israel sebelum dihantar ke Penjara Be’er Sheva Penjara dan kemungkinan penjara yang lain.

Mereka akan diadili dan dihantar pulang pada tahap seterusnya.

Sekitar 600 aktivis hak asasi manusia yang menaiki 8 buah kapal misi bantuan kemanusiaan menuju Gaza mengatakan bahawa mereka bertekad untuk sampai ke Gaza tanpa menghiraukan ancaman Israel.
Greta Berlin, juru bicara dari Gerakan Pembebasan Gaza, menyatakan bahawa “tidak ada yang akan menghentikan kapal ini, para aktivis hak asasi manusia tekad untuk mematahkan pengepungan dan sekatan Israel ke atas lebih 1.5 juta penduduk Palestin di Gaza, dan kami akan tetap menghantar bantuan kemanusiaan ini.” (imemc/alqudsol)

Khamis, 27 Mei 2010

Israel Mula Tertekan Dengan Kehadiran Konvoi


Israel Mula Tertekan Dengan Kehadiran Konvoi

Tindakan Zionis Israel mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman ke atas konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza jelas menunjukkan mereka kini berada dalam keadaaan tertekan. Presiden Insani Yardim Vakfi (IHH), Bülent Yildirim, dalam sidang media yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin NGO lain menyebut bahawa mereka tidak akan sekali-kali berundur walaupun satu langkah meskipun harus berhadapan dengan tindakan ganas tentera Israel sebagaimana yang disebut oleh media-media Israel.

“Setelah bertungkus-lumus selama 2 bulan bagi membuat persediaan konvoi ini, kini tibalah masanya untuk kita belayar ke Gaza. Semua peserta konvoi menunggu saat kini, dan kini kita sudah bersiap sedia,” kata Bülent yang bertutur dalam bahasa Turki.

Konvoi kemanusiaan antarabangsa ke Gaza ini akan membawa aspirasi kemanusiaan masyarakat dunia yang prihatin terhadap kesengsaraan rakyat Gaza. Berbagai dakwaan dibuat oleh media dan pemimpin Zionis bagi menghalang pergerakan konvoi ini. “Ini hanyalah satu konvoi bantuan kemanusiaan, tidak ada tujuan lain. Semua mereka yang menyertai konvoi ini adalah mewakili NGO masing-masing. Kami tidak ada apa-apa hubungan, kecuali keikhlasan kami untuk sama-sama membantu rakyat Gaza. Itulah yang menyatukan kami”, tegas Bülent. Wakil-wakil NGO daripada lebih 50 buah negara akan menyertai konvoi ini.

Israel turut mengumumkan “perang psikologi” terhadap konvoi ini dengan ugutan bahawa mereka telah menyiapkan sebuah pusat tahanan di Sderot khusus untuk menangkap peserta-peserta konvoi. “Bayangkanlah, semua pihak di Israel, samada Presiden mahupun Perdana Menteri, memberi perhatian yang serius terhadap misi kemanusiaan ini. Apakah mereka fikir kami takut kepada ugutan mereka? Kapal-kapal kami membawa 15,000 tan bantuan kemanusiaan, dan kami tidak faham kenapa Israel ingin menghalang”, tambah Bülent lagi.

Bülent turut menjelaskan bahawa tindakan menghantar konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza ini bukanlah suatu perkara yang dibuat secara tergesa-gesa, sebagaimana yang didakwa oleh setengah pihak. Dalam sidang media tersebut, Bülent telah menunjukkan beberapa pucuk surat yang menjadi bukti kenyataan beliau itu. Menurut beliau, IHH telah menghantar surat permohonan kepada Kedutaan Israel di Turki untuk menghantar bantuan ke Gaza pada 11 hb Februari 2009, iaitu 3 hari selepas tamatnya serangan brutal “Operation Cast Lead”. IHH juga telah menghantar permohonan yang sama kepada Kedutaan Mesir di Turki. “Kami telah melakukan usaha terbaik untuk menyelesaikan permasalahan di Gaza secara diplomasi. Tapi sehingga hari ini kami tidak mendapat apa-apa reaksi daripada mereka. Kami bukanlah secara tiba-tiba ingin ke Gaza. Kami telah membuat peracangan yang begitu lama”, jelas Bülent.

Seramai 35 orang ahli parlimen daripada Eropah dan Asia Tengah akan turut menyertai konvoi ini. “Tapi kami tidak akan membawa mana-mana ahli parlimen daripada Turki, tidak seorang pun”, kata Bülent. Malahan beliau telah menolak permintaan mana-mana ahli parlimen Turki untuk turut menyertai konvoi ini. “Jika kita membawa ahli-ahli parlimen Turki, mereka (Israel) akan mendakwa bahawa konvoi ini ditaja oleh kerajaan Turki. Konvoi ini tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan Turki”, jelas Bülent lagi.

Ada juga pihak yang mendakwa bantuan ini ditujukan kepada pihak Hamas. Bülent menjawab, “Pihak Berkuasa Palestin (PA), golongan berhaluan kiri, Hamas dan lain-lain mempunyai urusan mereka sendiri. Urusan kami pula hanyalah untuk menghantar bantuan kepada rakyat Gaza yang sangat memerlukan. Jika mereka cuba mengaitkan kami dengan mana-mana organisasi tersebut, mereka telah melakukan satu kesilapan”, tegas Bülent lagi.

Beliau turut memberi amaran kepada Israel bahawa jika mana-mana peserta konvoi ditangkap atau dicederakan, demonstrasi secara besar-besaran akan diadakan di lebih 100 buah negara. “Kepada rakyat Israel, kalau kerajaan anda terus dengan polisi mereka (menghalang bantuan kemanusiaan), negara kamu akan ditinggalkan bersendirian kerana kamu bermusuh dengan semua negara. Akhirnya akan berlaku embargo pula ke atas kamu, kerana kamu menentang kemanusiaan. Sekiranya kami masih hidup ketika kamu dikenakan embargo itu, kami berjanji bahawa kami akan bertindak ke atas kerajaan kamu dan berjuang membantu kamu”, jelas Bülent disambut dengan tepukan gemuruh. “Saya percaya dunia ini cukup luas untuk setiap kita hidup dengan aman”, sambung beliau.

Sidang media tersebut turut disertai oleh seorang ahli parlimen Israel, Hanin Zo’bi dan Ketua Bishop Vatican, Ilariona Kapuci. Dalam ucapannya, Kapuci menegaskan bahawa mereka akan terus menghantar bantuan ke Palestin sehinggalah al Quds dibebaskan menjadi ibukota Palestin merdeka. “Kami tidak peduli apa yang akan berlaku ke atas kami, hinggalah Palestin dibebaskan”, hujah beliau penuh bersemangat.

Tekanan ke atas Zionis semakin ketara apabila media-media Israel cuba menghubungi Bülent untuk membuat wawancara dan liputan berita. [Mohd Nizam/HALUANPalestin]

Ahad, 23 Mei 2010

Tindaka Wanita Layak di Puji

Wanita Umno: Haramkan Inul, 'gelek gerudi'
Mei 22, 10 9:01pm

Pergerakan Wanita Umno bahagian Kalabakan hari ini meminta pihak berkuasa supaya membatalkan konsert 'ratu gelek' Indonesia Inul yang dijadual berlangsung pada 29 Mei ini di Kompleks Sukan Tawau.

Ketuanya Datuk Hamisa Samat berkata pergerakan itu bimbang kehadiran penyanyi dangdut tersebut akan menyumbang kepada keruntuhan akhlak khususnya pada kalangan anak-anak muda di sana.

"Wanita Umno Kalabakan difahamkan bahawa persediaan sedang diatur untuk membawa ratu gelek Indonesia, Inul ke Tawau," katanya semasa berucap pada Program Juara Rakyat Wanita dan Keluarga 1Malaysia anjuran Umno Kalabakan, di
Tawau hari ini.

Beliau juga menyarankan agar pihak berkuasa mengharamkan terus Inul atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah yang terkenal dengan tarian 'gelek gerudi'daripada mengadakan persembahan di daerah itu.

Semalam beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di Masjid Al-Khauthar di sini bagi membantah konsert tersebut dan mendesak pihak bekuasa membatalkannya.

-- Bernama

Sabtu, 22 Mei 2010

Sokong mahasiswa 21 tahun ada hak berpolitik

Sumber : Harakahdaily.com

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong penuh kenyataan Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr Toh Kin Woon bahawa mahasiswa berusia 21 tahun ke atas berhak untuk berpolitik.

Mengulangi kenyataan Dr Toh bahawa tindakan empat mahasiswa sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selari dengan seksyen 119 (1a) dalam Perlembagaan Persekutuan, Ketua Penerangannya, Fadhil Osman (gambar) mempersoal kerajaan yang tidak membenarkan mahasiswa 21 tahun ke atas untuk berpolitik dan menyatakan pendirian mereka terhadap mana-mana parti politik.

"Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warga negara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihan raya.

"DPPWP mempersoalkan, kalau sekiranya usia 21 tahun adalah usia kelayakan mengundi, mengapa mereka tidak dibenarkan untuk berpolitik dan menyatakan sikap mereka terhadap mana-mana parti politik.

“Bukankah Malaysia sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, justeru mengapa mesti ada sekatan terhadap empat mahasiswa tersebut untuk mengamalkan hak demokrasi mereka?" katanya kepada Harakahdaily.

DPPWP juga, katanya meminta pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM lebih profesional dan rasional dalam menangani isu ini kerana empat mahasiswa tersebut terlibat dalam kempen di luar universiti, bukan melakukan kesalahan mengabaikan pelajaran dan meninggalkan kelas pengajian atau manjatuhkan nama baik universiti.

"Tindakan diambil terhadap mereka hanya kerana mereka berkempen untuk Pakatan Rakyat di Hulu Selangor, tetapi bagaimana sekiranya mereka adalah ahli Umno dan terlibat secara langsung dengan kempen di mana-mana pilihan raya kecil?" katanya.

Sehubungan itu, ujarnya DPPWP berpandangan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sudah tidak relevan kerana ia menyekat mahasiswa untuk menyatakan hak mereka.

"AUKU adalah alat untuk menyekat kebebasan mahasiswa untuk berpersatuan dan berpolitik, sedangkan dengan cara inilah mampu mematangkan mahasiswa dan melatih kepemimpinan mereka. Sepatutnya mahasiswa diberikan kebebasan mengenali lanskap politik negara, agar mereka tahu dan mampu menangani isu-isu semasa dengan baik.

"Apa yang berlaku hari ini, ramai mahasiswa yang tidak tahu menahu hal ehwal negara menyebabkan mereka menjadi lesu dan tidak bersikap proaktif dalam kepemimpinan mereka," katanya.

Empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ekoran terlibat pada PRK Hulu Selangor.

Ekoran itu, mereka tampil membuat bantahan dan memohon agar pertuduhan itu dibatalkan atas dasar Malaysia khususnya universiti sendiri mengamalkan demokrasi seperti yang diwarwarkan kerajaan.

Jumaat, 21 Mei 2010

Protes seluruh negara bantah judi hari ini


Abdul Rahim Sabri & Puteri Aida Haryani
Mei 20, 10
2:05pm

PAS menganjurkan sekurang-kurangnya lima perhimpunan di pelbagai tempat di seluruh negara esok bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan.

Protes yang digerakkan Dewan Pemudanya itu akan diadakan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Daripada kelima-lima negeri itu, perhimpunan di Terangganu dijangka terbesar, melibatkan sekurang-kuranngnya 3,000 orang.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) sendiri dijadual akan turut serta di perkarangan Masjid Pengedang Baru, Kuala Terengganu.

Bercakap kepada Malaysiakini, ahli jawatankuasa PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya tidak memohon permit untuk perhimpunan itu kerana ia akan dibuat "secara aman di dalam perkarangan masjid".

Menurutnya, demontrasi itu dijangka turut dihadiri kepimpinan Pemuda daripada parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, kerajaan secara rasmi dilaporkan memberi lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA.

Tindaka
n itu dibantah pelbagai pihak, khususnya termasuk pakatan pembangkang dan NGO Melayu-Islam di Malaysia.

Sementara itu, Di Perak, Naib Ketua Pemuda PAS negeri Salman Salleh berkata kira-kira 2,000 orang dijangka menghadiri demontrasi di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh bagi membantah keputusan kerajaan itu.

Umno juga dijemput

"Semua pertubuhan termasuk Umno, Pemuda Pakatan Rakyat dan NGO dijemput bersama kita untuk menzahirkan bantahan pemberian lesen judi," katanya.

Menurut Salman, demonstrasi itu akan diketuai oleh ketua Pemuda PAS negeri, Zawawi Hassan.

Di Negeri Sembilan, dijangka 1,500 orang akan menyertai demontrasi di Masjid Negeri Sembilan dekat Seremban selepas solat Jumaat.

Ketua Pemudanya Khairil Anwar Mohd Wafa berkata pihaknya turut menjemput pemimpin Pemuda Pakatan yang bukan Islam, termasuk Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

"Kita tidak pohon permit, kalau hendak tangkap, tangkaplah. Kita buat perhimpunan aman. Dulu masa (demonstrasi) membantah (firma perundin) Apco Worldwide tiada tangkapan pun," kata Khairil Anwar.

Di Pulau Pinang pula ketua Pemuda PAS Mohd Yusni Mat Piah berkata pihaknya menganjurkan demontrasi esok di hadapan Masjid Permatang Gajus, Permatang Pauh selepas solat Jumaat.

Perhimpunan aman tersebut dijangka seramai 1,000 penyokong Pemuda Pakatan, tambahnya.

Demonstrasi di 22 kawasan PAS

Di Selangor pula keadaan agak berbeza apabila tiada demonstrasi di peringkat negeri dianjurkan PAS.

Ketua Pemudanya Hasbullah Mohd Ridzwan berkata Pemuda PAS negeri telah mengarahkan 22 Pemuda kawasan mengadakan demontrasi itu sama ada esok atau Jumaat depan.

"Setakat ini Pemuda PAS kawasan Hulu Langat akan mengadakan demontrasi membantah keputusan kerajaan itu esok," katanya.

Hasbullah berkata, dijangka kira-kira 200 orang bagi setiap kawasan akan hadir dalam demontrasi itu.

Menurut pemimpin negeri yang dihubungi, kesemua perhimpunan esok dijalankan tanpa memohon permit polis kerana "ia adalah satu perhimpunan aman".

Difahamkan, pembangkang di negeri-negeri lain, Perlis, Kedah, Pahang dan beberapa kawasan di Selangor akan mengadakan demontrasi itu Jumaat hadapan.

Kemuncak kepada siri demonstrasi tersebut akan dilaporkan diadakan pada 3 Julai ini di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.