Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com

Ahad, 2 September 2007

Kerajaan, jangan hanya berteriak dalam media sedangkan tindakan sifar!

KUALA LUMPUR, 31 Ogos- Setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan, kerajaan yang ada pada hari ini hendaklah mengambil inisiatif dengan lebih giat seiring dengan tahap kemajuan yang telah dicapai saat ini.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily semalam menyatakan bahawa mahasiswa akan bersama kerajaan sekiranya kerajaan bersedia untuk mengubahkan segala dasar kerajaan yang bersendikan kolonialisme dan mengekalkan dasar-dasar Islam.

"Jangan hanya berteriak dalam media sedangkan tindakan sifar," ujar Presiden Gamis, Mohd Dzulkhairi Mohd Noor mengingatkan semua pihak yang berkenaan.

Ujarnya, Gamis berpandangan inilah erti merdeka yang ingin dikecapi yang bukannya semangat yang hanya dilaungkan secara lantang semata-mata, malah dengan manifestasi melalui perbuatan dan tingkah laku berteraskan ajaran Islam.

"Janganlah hanya mendabik dada, berbangga dengan negara berbilang kaum melalui kebudayaan semata-mata, sebaliknya kerajaan mestilah serius untuk menjaga kebajikan rakyat," tegasnya.

Ujarnya, mutakhir ini kebejatan sosial yang kian membarah dengan budaya ketagih rokok di kalangan kanak-kanak seawal usia lapan tahun, kes murid tahun dua melakukan hubungan seks dalam kelas, ibu bapa yang tidak melarang anaknya bersedudukan dengan lelaki bukan mahram, ketagihan dadah, dan lain-lain mencemarkankan nama negara.

Tegasnya, kerajaan yang merdeka hendaklah menyahkan budaya kuning walau apa cara sekalipun, serius menghapuskan jenayah kolar putih seperti rasuah, pecah amanah, penyelewengan, yang telah merugikan Negara sekaligus melaksanakan perlemabagaan berteraskan Islam

Beliau juga turut memberikan jaminan bahawa mahasiswa akan berusaha sedaya upaya dan akan melakukan apa sahaja bagi memerdekakan pemikiran mahasiswa daripada kongkongan penjajah.

Malah, Gamis juga dengan tegas menyatakan komitmen mereka untuk membebaskan seluruh rakyat Malaysia daripada bentuk penjajahan yang melampau ini.

Walau bagaimanapun, Dzul Khairi juga menekankan agar kerajaan jangan sesekali memperalatkan dan mempolitikkan mahasiswa

"Janganlah sekali-kali menghalang mahasiswa berpolitik kerana ia akan merencatkan proses pembinaan jati diri mereka yang bakal menerajui kepimpinan negara," ujarnya lagi.

"Saya mewakili kepimpinan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengucapkan selamat menyambut kemerdekaan kepada seluruh warganegara, anak bumi Malaysia yang dikasihi sekalian," katanya.

Beliau mengharapkan agar kemerdekaan yang disambut ini dapat menjadi batu loncatan ke arah menganjakkan idealisme dan sinergi semua pihak supaya sentiasa energetik.

Beliau yang telah menghantar surat secara peribadi kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi menyatakan sokongan terhadap segala upaya Abdullah dalam usaha menghidupkan Islam.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa Abdullah untuk menghapuskan segala budaya dan gejala kuning yang tidak sihat.

Selaku Presiden Gamis, beliau mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan tahniah kepada beberapa front mahasiswa dalam membela dan memperjuangkan isu mahasiswa

Dzul Khairi mengucapkan tahniah kepada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang telah mengadakan beberapa siri demonstrasi membantah penipuan Pilihan Raya Kampus (PRK) termasuk demonstrasi di Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia atas kejayaan mengumpulkan 500 mahasiswa menghantar memorandum kepada pihak pentadbiran universiti berhubung penyelewengan dalam PRK lalu.

Selain itu, saya tahniah juga kepada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya yang telah berjaya mempelbagaikan metodologi dakwah di kampus dengan penganjuran Temasya Sukan dengan kerjasama kumpulan Nasyid Raihan, serta mengadakan Forum Wanita dan 50 Tahun Kemerdekaan.

Ujarnya, mahasiswa akan terus giat berusaha dengan mempelbagaikan pendekatan untuk menggapai hakikat kemerdekaan dalam erti kata yang sebenar./wann

Tiada ulasan: