Tuntutan mahasiswa untuk mengadakan Pilihan Raya Kampus (PRK) yang bersih dan adil diteruskan ke Jawatankuasa Kaukus Hak Asasi Parlimen Malaysia (Kaukus).
Walau bagaimanapun, suara mahasiswa ini tidak mendapat sebarang jaminan daripada Kaukus yang berharap agar mereka dapat berbuat sesuatu bagi memastikan tuntutan yang dikemukakan mereka ditunaikan.
"Kaukus menyambut baik kedatangan mahasiswa. Akan tetapi jika kami (Kaukus) masuk, kami adalah badan yang dianggotai oleh pelbagai parti dan fahaman politik yang berkepentingan ," demikian ujar Pengerusi Jawatankuasa Kaukus Hak Asasi Parlimen Malaysia (Kaukus), Dato' Seri Nazri Aziz semalam.
"Kalau kami (kaukus) masuk ke kampus, kami boleh sahaja hendak mengarahkan jentera Barisan Nasional(BN) untuk pastikan kepentingan kami tercapai. Yelah, ahli Kaukus terdiri daripada seratus lebih ahli parlimen BN," jelasnya lagi.
Beliau yang bercakap kepada pemberita semasa sidang media di lobi perlimen menjelaskan bahawa Kaukus hanya sekadar boleh memberikan pandangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal institusi pengajian tinggi.
"Saya merasakan tuntutan yang dikemukakan ini adalah munasabah dan saya menyokongnya," katanya.
Namun begitu, ketika ditanya mengenai pandangan beliau terhadap campurtangan politik daripada luar yang kini berlaku di dalam kampus yang disebutkan didalam memorandum mahasiswa, Nazri tidak memberikan sebarang komen.
Walau bagaimanapun, Kaukus ujarnya tidak dapat memberikan sebarang jaminan untuk berperanan dalam memastikan perkara tersebut.
"Saya telah berbincang dengan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed berhubung beberapa tuntutan dan aduan yang terdapat dalam memorandum ini," jelasnya lagi.
Nazri turut menjawab bagi pihak Mustapa yang menyatakan bahawa beliau (Mustapa) hanya akan berjumpa dengan pertubuhan yang diiktiraf oleh universiti sahaja, merujuk kepada Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM).
Merujuk perkara tersebut, Pengerusi SMM, Syeikh Omar Ali berkata SMM adalah merupakan gabungan atau forum pertubuhan-pertubuhan mahasiswa yang diiktiraf oleh universiti, dan bukan satu pertubuhan haram.
Sungguhpun begitu, Nazri memberikan jaminan bahawa KPT akan memberikan maklum balas mengenai tuntutan memorandum PRK ini.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Parlimen, Lim Kit Siang pula menggesa agar PRK dilaksanakan dalam situasi yang bebas dan adil, tanpa wujud sebarang campur tangan politik luar.
Beliau yang ditemui selepas sidang media tersebut, turut bersetuju agar wujudnya satu badan pemantau PRK tersebut bagi memastikan situasi politik di luar yakni pilihan raya di luar IPT tidak memberikan kesan kepada PRK.
Bagi memastikan agenda demokrasi kampus khususnya sebuah sistem pilihanraya yang bersih dan adil, SMM sebelum ini telah menyerahkan memorandum menuntut PRK yang adil dan bersih ini kepada KPT bulan lalu.
Mereka juga telah mengemukakan tuntutan yang sama kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia yang berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk menjalankan peranan mereka.
Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik
Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com
Jumaat, 14 September 2007
Pilihan raya kampus, Kaukus tidak janji tuntutan dipenuhi
Posted by Student UTMKL at 12:26 PTG
Labels: Politik Kampus
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan