Perencah soalan ini tentunya memuntahkan jawapan dan resepi bervariasi. Tetapi, kali ini saya fikir mahu bawa satu ramuan saja. Itu pun jika anak-anak kampus bersetuju. Wacana Politik Kampus, Demokrasi Kampus atau namakanlah apa sahaja, ia perlulah dirakyatkan lewat parlimen kedai kopi dan khalayak awam. Itu sahaja caranya.
Tapi, bagaimana? Huh, cakap memang senang. Beritahulah apa caranya?
Baru-baru ini (24 Ogos) sekumpulan anak kampus yang menggelar diri mereka, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah berarak daripada Masjid Negara menuju ke Suhakam. Mereka menghantar memo bagi menuntut HEP melak.
Memorandum ini bukan kali pertama. Malah ia tidak terhitung untuk kali ke berapa. Saat saya mula bekerja di Siasah sejak Ogos 2005, kelompok SMM inilah yang setia berulang alik ke pejabat Suhakam dan beberapa kali mengadu menumpahkan resah mereka kepada Dato' Siva dan Prof Hamdan Adnan. Saya menyaksikan semua ini.
Setelah kontrak Prof Hamdan tamat di Suhakam, dalam beberapa pertemuan tidak rasmi dan dalam wawancara di Siasah, beliau pernah menjelaskan betapa prihatinnya Suhakam terhadap pilihan raya kampus.
Suhakam, menurut Prof Hamdan pernah bertindak hingga mengundang pegawai-pegawai universiti peringkat tertinggi pada satu tarikh untuk mereka berunding mengenai apa-apa yang patut diberikan penekanan dan perhatian agar PRK berlangsung dengan adil.
"Malangnya, mereka cuma mengirim pegawai-pegawai rendah yang tidak boleh buat apa bentuk keputusan pun," kata beliau sambil mengeluh kesal.
Prof Hamdan berasa kecewa sekali dengan sikap pimpinan universiti pada saat itu. Sudut perlakuan ini melambangkan bahawa pimpinan universiti bersikap acuh tidak acuh serta mempermain-mainkan Suhakam sebagai badan yang diperakui dalam memartabatkan hak asasi manusia di Malaysia.
Ada suatu mesej isyarat yang dapat saya hidu daripada bualan kami dahulu. Beliau mahu hak asasi manusia itu ditafsirkan dengan lebih meluas supaya kes-kes penganiayaan dapat disiasat oleh Suhakam sendiri. Inilah barangkali antara masalah utama Suhakam.
Ada beberapa aduan yang akhirnya tertanggal dan luput dari siasatan kerana aduan orang tersebut, kata sesetengah pesuruhjayanya - tiada unsur-unsur penganiayaan dalam tafsiran hak asasi manusia seperti yang didefinisikan badan itu sebelum ini. Wallahu a'lam.
Jadi, berasaskan penjelasan Prof Hamdan, saya menjadi saksi bahawa Suhakam memang berbuat sesuatu dalam memastikan HEP dapat berlaku adil dalam PRK. Kalau tidak silap saya, Suhakam pernah meminta kepada universiti untuk menjadi badan pemantau. Tetapi, seperti biasa, permintaan mereka tetap ditolak universiti.
Jadi saya fikir dalam situasi ini pelajar yang sedar sepatutnya merakyatkan kesedaran dan meratakan kesatuan pemikiran bahawa Suhakam sangat-sangat diperlukan dalam PRK.
Jadi apa caranya? Rasanya ramaikah pelajar yang suka menadah telinga ceramah kempen skima seumpama ini? Kalau masuk perpustakaan, berdiskusi pun dianggap skima (walhal memang begitulah seharusnya sikap perlakuan mahasiswa) maknanya sukarlah kita mahu bertindak agar mesej ini disampaikan secara menyeluruh.
Alkisahnya baru-baru ini saya menonton teater Hikayat Qaziq karya Siti Jasmina Ibrahim di DBP. Itulah kali pertama saya menonton teater walhal saya sepatutnya dapat menonton teater dengan mudah di USM dulu. Memang universiti itu pengkalan kebudayaan.
Tetapi kesedaran bahawa penyampaian mesej itu hanya berlaku dalam gerakan persuratan amat menebal dalam jiwa, hingga saya melupakan gerakan politik, seni dan budaya. Saya fikir, kita perlu cuba pula gerakan kesedaran dari situ (kalau mahu dan mampu!)
Apa yang kita cuba lakukan sekarang ialah gerakan politik yang sesekali disulam gerakan persuratan seperti blog yang seperti kurang menyerlah. (Mungkin tahap kualiti, penulisan masih belum bersifat merakyat kepada isu-isu masyarakat di luar kampus)
Sekarang, jika saudara mahu dan mampu, bergabunglah pula dengan golongan yang amat memerlukan perhatian saudara; mahasiswa artis. Mereka ini punya kekuatan tersembunyi yang sukar dijangka, mampu meledak jika ruh kesedaran sudah bertapak ke atas jiwanya.
Tapi, jangan diharapkan gerakan kesenian dan kebudayaan kampus yang akan bergabung dengan gerakan politik–persuratan kampus ini boleh meledak dalam pilihan raya kampus kali ini. Ia tentunya memerlukan rancangan jangka panjang. Jadi, kita perlu bersabar.
Untuk memahami, cara bagaimana memulakan gerakan merakyatkan kesedaran ini dalam kalangan siswa artis, saya ingin tekankan hal 'mengintelektualkan artis dan mengartiskan intelektual'. Hal ini terpecah kepada dua bahagian.
Pertama, saudara yang telah mempunyai kesedaran akan turun menawarkan kemahiran untuk mempelajari selok-belok ilmu kesenian guna menghaluskan jiwa. Kedua, saudara berusaha menyampaikan kesedaran ke dalam pemikiran pelajar artis agar mereka dapat memahami jalan fikiran saudara selama ini.
Nantinya, yang akan berlaku selepas ini adalah dua perkara pula. Pertama, apabila anda menguasai ilmu kesenian, maka sempurnalah percakapan saudara untuk sampaikan mesej pencerahan kepada khalayak yang tidak gemarkan 'budaya skima'. Kedua, siswa artis ini dengan sendirinya melantunkan mesej pencerahan setelah mereka mengunyah idea kita.
Gerakan 'politik – kebudayaan – persuratan' adalah tiang-tiang yang mengangkat suatu tamadun. Setiap tiang itu, ada nabi-nabi yang mewakilinya. Politik misalnya diberikan ke atas Daud a.s dan Sulaiman a.s.
Gerakan persuratan diwakili Idris a.s yang terkenal keilmuannya. Malah, dari nama Idris itu kita membentuk istilah 'madrasah' - 'madrasah pemikiran'. Manakala gerakan budaya dan seni diwakili Daud a.s yang dianugerahkan kitab khas; Zabur atau Mazmur (di dalam Bible) yang terkandung di dalamnya bait-bait ucapan pujian yang indah kepada Allah.
Saudara boleh minta tajaan daripada Yayasan Kepimpinan Perdana dan Tuanku Raja Dr. Nazrin untuk teater politik kampus ini. Bawa Tun Dr Mahathir Mohamed dalam kampus untuk diskusi hal gerakan persuratan maya (bloggers) yang telah diberukerakan Khairy.
Bukankah Dr Mahathir ketika zaman mahasiswanya telah memulakan gerakan persuratan sehingga diriwayatkan beliau terkandas oleh kerana terlalu asyik dibakar idealisme beliau itu? Jangan-jangan, jika zaman itu sudah ada blog, mungkin beliau salah seorang blogger yang paling aktif mengkritik penjajah, termasuk almarhum Tunku Abdul Rahman sendiri.
Dr Mahathir memang anti Khairy. Kita lihatlah sejauhmanakah HEP menggunakan Auku untuk menyekat suara Mahathir di dalam universiti. Ingat, Auku itu ciptaan siapa? Hanya satu antara dua kejadian akan berlaku.
Sama ada senjata lama memakan tuan, atau tuan akan kembali menghina senjata lamanya. Pelbagaikanlah kaedah melawan dan menekan musuh-musuh yang tersurat dan tersirat dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Lantiklah Dr Mahathir sebagai penaung kepada bloggers kampus. Mana-mana pensyarah dan mahasiswa boleh berdiskusi mengenai idea-idea Dr. Mahathir untuk dibawa ke dalam blogger kampus di samping berjihad mengutuk, mencela, memaki, melaknat, mencandek, mencarut dan mencerca HEP – KPT sampai mati.
Sekarang, kuasa istana pun sudah mula mengambil perhatian ke atas masalah demokrasi di kampus. Suara anda tidaklah keseorangan lagi. Di mana-mana, telah meledak memekik suara yang menyebut – daging demokrasi telah mereput. Yang tersisa cuma tulang-tulang demokrasi yang hanyut berserakan dipukul badai bergelora dari laut keangkuhan HEP.
Saya perturunkan maklumat daripada SMM kepada Suhakam Jumaat lalu. Ia seperti yang termaklum; kebejatan moral HEP. Mungkin berfaedah bagi menumbangkan berhala HEP bertongkatkan Auku yang disembah Aspirasi dengan iman yang teguh, kewarakan yang utuh dan dibalut pula dengan libasan kain ketaqwaan yang tiada tolok bandingnya.
Semoga gerakan persuratan dan gerakan kebudayaan dapat memanfaatkan pula nantinya maklumat ini. Ingatlah, denai laluan yang menuju ke arah gerakan politik menjadi makin sukar lantaran HEP yang telah karat jiwanya dan langsung tidak tahu malu ini.
Bawalah pementasan teater dan rakyatkan gerakan budaya ke setiap kampus dan istana. Usunglah gerakan persuratan bloggers ke Yayasan Kepimpinan Perdana. Paling penting, usaha ini akan merombak pandangan umum–Suhakam adalah sebahagian demokrasi IPT.
ADUAN DAN PENYELEWENGAN DALAM PILIHAN RAYA KAMPUS 2006 UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
1) TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang merangkap sebagai Pengerusi Jawatankuasa Timbalan Naib-Naib Canselor HEPA seluruh IPTA sesi 2006 / 07 telah mengeluarkan keputusan mengejut di mana mereka telah membenarkan calon-calon berkempen sebelum hari penamaan bagi memberi peluang kepada calon-calon Aspirasi berkempen pada hujung minggu di kolej kediaman dan menafikan hak untuk calon-calon individu berkempen dengan mengeluarkan notis larangan berkumpul dan berhimpun di tempat umum. (Tarikh notis pada 14 September 2006)
2) Sehubungan itu, TNC Hal Pelajar & Alumni dan pengetua kolej telah berkempen bagi calon-calon Aspirasi melalui perjumpaaan dengan pelajar dan majlis-majlis rasmi anjuran kolej-kolej kediaman seperti Fiesta Puteri di Kolej Keris Mas, perjumpaan bersama pelajar di Kolej Aminuddin Baki dan sebagainya. Ini menyalahi etika di mana TNCHEPA sebagai Pengerusi SPR dan pengetua kolej kediaman sebagai Ketua Tempat Mengundi sepatutnya bersikap berkecuali dalam pemilihan MPP kali ini.
3) TNCHEPA dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pengajian Islam termasuk Pengetua Kolej Tun Hussien Onn memaksa siswa tertentu daripada Fakulti Pengajian Islam bertanding atas calon tajaan Aspirasi.
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA
1) Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus hanya menghadkan tarikh kempen selama 1 hari setengah saja. Ini menyukarkan calon untuk menerangkan manifesto kepada pelajar yang mempunyai taburan luas di pelbagai fakulti dan kolej kediaman.
2) Pihak pentadbiran UIAM juga telah memperkenalkan satu sistem yang janggal dalam proses pilihan raya kampus seperti pengucapan awam dan sesi temuduga di hadapan dekan-dekan universiti. Ia jelas menapis calon-calon yang bebas untuk bertanding.
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
1) Terdapat ugutan bahawa pelajar yang mengundi pihak 'aspirasi' akan dibuang kolej.
2) Terdapat pihak yang sengaja memainkan isu perkauman dalam pilihan raya kampus hingga boleh menjejaskan keharmonian kaum.
UNIVERSITI MALAYA
Terdapat kolej-kolej kediaman yang menubuhkan badan penggerak pilihan raya di peringkat kolej kediaman membuktikan wujudnya sentimen tertentu yang boleh mempengaruhi minda warga kolej.
• Dalam minit mesyuarat Jawatankuasa Induk Kolej dan Jawatankuasa Tindakan Kolej di Kolej Kediaman Ketiga menyatakan cadangan perlantikan Pengarah Pilihanraya KK3.
• Terdapat surat bertarikh 14 September 2006 yang memohon peruntukan air mineral yang ditandatangani seorang sebagai Ketua Jentera Pilihanraya Aspirasi Kolej Kediaman Kinabalu.
• Wujudnya tekanan dan ugutan kepada warga kolej agar mengundi calon tertentu sepertimana kejadian di kolej kediaman kedua yang mana isi kandungan perjumpaan mahasiswa tahun pertama bersama pengetua Kolej Kediaman Kedua pada 18 September 2006 jam 9.30 malam, menjadi medan mengugut dan mendoktrin audiens agar mengundi Aspirasi di samping memburukkan imej calon lain dan melabelkan mereka sebagai calon pembangkang.
• Dalam mesyuarat Jentera Pilihanraya Kolej Kediaman Ke-12 membincangkan agenda penubuhan jentera pilihan raya, pencarian dana bagi jentera dan pemilihan calon.
• Wujudnya calon tajaan kolej-kolej tertentu yang mana kelihatan di hari penamaan calon banner-banner yang dibuat di peringkat kolej sebagai tanda sokongan kepada calon-calon dari kolej mereka.
Maka, Mahasiswa menuntut:
1) Kami menuntut SUHAKAM menjadi badan pemantau Pilihan Raya Kampus untuk beroperasi sepanjang proses pilihan raya berlangsung. Ini menjaminkan supaya perlaksanaan Pilihan Raya Kampus adalah telus dan adil.
2) Kami menuntut SUHAKAM mensyorkan e-undi dimansuhkan. Ini kerana e-undi adalah tidak telus dan tidak adil. Sistem e-undi tidak dapat dipantau dan tidak dapat dikira semula. Sistem ini diragui ketelusannya akibat daripada banyak kejadian teknikal dan keputusan PRK yang diragui telah berlaku sejak sistem tersebut dilaksanakan. Proses undian di seluruh IPTA mestilah dijalankan dengan menggunakan kertas undi. sistem e-undi harus diganti semula dengan kaedah manual iaitu melalui kertas undi. Ini menjamin supaya keputusan pilihan raya kampus adalah telus dan adil.
3) Kami menuntut SUHAKAM mensyorkan supaya tidak ada sebarang tanda atau nombor bersiri di atas kertas undi untuk mengelakkan sebarang keraguan dan meningkatkan tahap ketelusan. Ini menjamin agar ugutan undi tidak berlaku.
4) Kami menuntut SUHAKAM mensyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus mestilah dianggotai oleh badan khas yang dipilih secara bebas dan tidak dibenarkan kepada Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar dan mereka yang diragui kredibilitinya berdasarkan prestasi dan sikap sepanjang tempoh perkhidmatannya untuk menganggotai suruhanjaya tersebut dan dipersetujui pelbagai pihak. Ini menjamin agar Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus adalah telus dan adil.
5) Kami menuntut SUHAKAM memantau supaya pihak pentadbiran universiti tidak boleh mengeluarkan sebarang arahan, ancaman atau ugutan secara lisan atau bertulis ke atas mana-mana mahasiswa yang akan mengundi dan bertanding dalam pilihan raya kampus supaya mereka tidak merasa tekanan dan selesa untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Ini menjaminkan supaya ugutan undi tidak berlaku.
6) Kami menuntut SUHAKAM memantau supaya bahan-bahan sebaran kempen dan tempat-tempat berkempen tidak seharusnya disekat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus sehingga merumitkan calon untuk berjumpa dan menerangkan kepada mahasiswa. Ini menjaminkan supaya Hak Bersuara mahasiswa tidak dicabuli semasa Pilihan Raya Kampus
7) Kami menuntut SUHAKAM memantau supaya Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus tidak mencabuli hak calon-calon untuk bertanding di atas tiket persatuan atau kumpulan. Ini menjaminkan supaya Hak Berpersatuan calon-calon tidak dicabuli semasa Pilihan Raya Kampus.
8) Kami menuntut SUHAKAM mengesyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus mestilah mengubah tempat pembuangan undi dari kolej kediaman ke fakulti universiti bagi memastikan pilihan raya ini lebih adil dan telus. Ini menjamin agar ugutan undi tidak berlaku.
9) Kami menuntut SUHAKAM mengesyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus seharusnya sedar bahawa mahasiswa mempunyai hak untuk memilih sesiapa saja yang menjadi calon dan dipilih menjadi calon. Ini menjamin agar Hak Asasi Mahasiswa menjadi calon tidak dicabuli .
Disediakan oleh,
Mat UTMKL.
Disokong Oleh...
MPP 06/07
Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik
Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com
Khamis, 13 September 2007
Bagaimana merakyatkan wacana Politik Kampus?
Posted by Student UTMKL at 11:01 PTG
Labels: Politik Kampus
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 ulasan:
saya amat bersetuju jika pihak pentadbiran universiti terutama HEP x masuk campur hal pemilihan MPP sbb itu hak kami bukan HEP. HEP hny organize
Wacana Kampus...Ayuh Gerakkan..
Hamba terasa tergerak utk mengiyakan ape yg dikatakan sdr penulis.....mekanisme persuratan dan kebudayaan, sambil menarik percikan suara bekas pemimpin dan daulah sultan di Malaysia...
Cuma ingin hamba titipkan setinta minda kepada warga kampus...perjuangan kalian bukan saja dikalangan mereka yang sudah sedar akan kebobrokan yg ada dikampus....sedarilah...masih ada kengkawan kalian yang tidak endah, misalnya mereka yang aktif bersukan (para atlet), mereka yang condong kepada kebudayaan (usah bedakan mereka kerana personaliti mereka), mereka yang tertumpu kepada akademik sahaja......semua mahasiswa!!!!!
GABUNGKAN SUARA DPATKAN SOKONGAN
BAHKAN TEGASKAN KEPENTINGAN SUARA MAHASISWA......BANGKITKAN KESEDARAN TANPA MENGIRA FAHAMAN DAN KETURUNAN...
Hamba yakin.....HEP takut ini tejadi...dekati kengkawan, bukan jauhi mereka...
SALAM PERJUANGAN....MAHASISWA MENGGUGAT!!!!! HIDUP MAHASISWA
saudara rahmat...indah sungguh alunan tulisan saudara itu...saya amat terpegun dan terpesona dengan ayat itu...apa kata saudara membawa dan mengerakkan usaha2 murni menarik sahabat2 kita tuk meramaikan masjid karian kolej anda...apa kata meyakinkan usaha2 anda itu adalah usaha kerana Allah Taala...jangan mengaburi dengan usaha yang sia sia...agar tak menjadi manusia yang tak berguna dengan memberikan pelbagai fahaman tak sihat di kampus kita....lakukan la wahai rahmat
Catat Ulasan