Kebiadapan dan keganasan anggota polis menangkap secara rambang peserta perhimpunan aman menentang kenaikan harga barangan di KLCC menunjukkan seolah-olah kerajaan BN melaksanakan sistem kuku besi.
Belum sempat peserta berkumpul menyuarakan bantahan, polis terus membuat tangkapan bermula jam 2.45 petang di hadapan Suria KLCC.
Tangkapan awal dilakukan terhadap empat anggota Unit Amal diikuti lapan orang termasuk Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat, Atirah Aiman Al-Jundi di Ampang Park.
Sejurus itu, polis bagaikan dirasuk terus membuat tangkapan walaupun tiada laungan memprotes atau pengedaran risalah dilakukan peserta perhimpunan. (Gambar - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad sedang diheret kasar polis)
Image Dalam perbualan wartawan dengan anggota polis, mereka mengakui mendapat arahan daripada pihak atasan supaya membuat tangkapan terhadap sesiapa sahaja yang cuba berhimpun di sekitar KLCC dan Ampang Park.
Anggota polis, Rela dan SB berada di merata-rata tempat. Mereka tidak memberi peluang langsung terhadap peserta perhimpunan untuk berkumpul.
Enam trak polis penuh disumbat dengan peserta perhimpunan untuk dihantar ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis, Kuala Lumpur (IPK).
Polis bertindak cekap dan pantas dalam penangkapan tersebut. Bermula jam 2.45 hingga 4.15 petang polis telah menangkap 58 orang peserta perhimpunan dan dibawa ke IPK.
Apa hak rakyat ditangkap sebelum sempat menyuarakan bantahan? Apakah kerajaan BN benar-benar takut dengan kebangkitan rakyat sehingga mengarahkan polis bertindak ganas dan biadap terhadap peserta perhimpunan?
Sebelum ini, dalam mana-mana perhimpunan aman anjuran Protes atau PAS belum ada peserta yang membawa sebarang alat berbahaya seperti pisau, cangkul, keris, parang untuk berlawan dengan anggota polis.
Mereka hanya membawa mulut, tangan, kaki, kain rentang dan risalah. Kandungan risalah dan kain rentang hanya untuk menyedarkan rakyat tentang keadaan kerajaan BN yang semakin menekan kehidupan rakyat. Itu saja.
Malangnya, anggota polis telah berlawan dengan rakyat secara ganas. Polis dengan segala kelengkapan terutama Pasukan Simpanan Khas (FRU) menggunakan cota, kasut but, perisai dan 'water cannon' untuk berhadapan dengan rakyat.
Peserta perhimpunan ditangkap tak ubah sebagai seorang penjenayah. Sedangkan penjenayah sebenarnya terlepas bebas sehingga berjaya meneruskan kerjaya sebagai penculik kanak-kanak.
Terfikir sejenak. Dalam kes penculikan dan pembunuhan kanak-kanak, mengapa polis masih belum berjaya menangkap penjenayah terlibat?
Apakah anggota polis di negara Islam Hadhari ini hanya dikhaskan untuk mengintip dan menangkap sesiapa saja yang bersekongkol dengan pembangkang PAS, KeADILan dan DAP?
Perbualan penulis dengan seorang anggota polis wanita di hadapan Suria KLCC, beliau menyalahkan ibu bapa Sharline Mohd Nasar, 5, kerana cuai menjaga kanak-kanak tersebut.
Kenyataan polis wanita itu mengejutkan saya dan Pegawai Khas Pemuda PAS Pusat, Safarizal yang berada di hadapan beberapa anggota polis di hadapan Suria KLCC.
Safarizal berkata, "Kalau Sharlinie atau kanak-kanak yang diculik itu penyokong pembangkang mesti polis bertindak pantas dan cekap."
Malang polis di Malaysia hanya akur dan taat secara 'membabi buta' terhadap arahan pihak atasan untuk menangkap sesiapa saja yang bersengkokol dengan pembangkang.
Mereka hanya menjadi `pak pacak' menunggu arahan untuk bertindak terhadap rakyat. Tak ubah seperti seekor anjing yang terlalu patuh pada arahan tuannya.
Banyak kes yang membuktikan anggota polis terlalu ganas terhadap rakyat. Kes di Batu Buruk, Kuala Terengganu anggota polis menembak dengan menggunakan peluru hidup ketika meleraikan perhimpuanan aman.
Bagaimanapun, polis tersebut terlepas sedangkan mangsa tembakan rambang itu didakwa di mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Beginilah nasib rakyat Malaysia hidup di bawah kerajaan BN.
Pemimpin BN sedar rakyat mempunyai kuasa untuk menukar kerajaan. Sebab itu mereka menggunakan sepenuhnya kuasa polis untuk menahan kebangkitan rakyat.
Justeru, apakah rakyat masih rela diganasi oleh anggota polis?Jawapannya dalam keputusan pilihan raya umum ke-12.
NEGARA POLIS 08'
Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik
Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com
Isnin, 28 Januari 2008
Tangkapan terhadap rakyat, polis mengganas bagaikan dirasuk
Posted by Student UTMKL at 11:27 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan