Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com

Isnin, 28 Januari 2008

PMN ajak Menteri Pengajian Tinggi berdebat

KUALA LUMPUR, 28 Jan- Kebodohan dalam sejarah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hanya boleh disangkal jika Menterinya, Dato' Mustapa Mohamed sanggup berdebat secara terbuka (live) dengan Parti Mahasiswa Negara (PMN).

"Sila nyatakan di mana kawasan pertandingan anda di Parlimen/DUN. PMN mencabar Tok Pa (Mustapa) bertanding menentang suara mahasiswa," ujar Presiden PMN, Azlan Zainal dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini.

PMN menyelar sikap Mustapa yang mendesak mahasiswa agar berikrar untuk tidak melibatkan diri dengan parti-parti tertentu di peringkat nasional.

"Kenyataan Tok Pa kelmarin yang mendesak mahasiswa Malaysia supaya berikrar untuk tidak terlibat dengan parti-parti politik tertentu di peringkat nasional disifatkan sebagai kenyataan paling bodoh pernah keluar dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya.

Mustapa dilaporkan berkata semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari 10 IPT tempatan telah berikrar untuk tidak terbabit dengan kegiatan politik dan anti kerajaan di Kota Bharu kelmarin

PMN mendakwa pendirian dan sikap Mustapa terhadap perkara tersebut melambangkan kejahilannya yang begitu ketara apabila beliau masih menyalah gunakan Perkara 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

"Adakah hujah ini berpunca daripada kebodohan Tok Pa berhubung falsafah perundangan Negara? Apakah beliau tidak mengetahui konsep ketertinggian perlembagaan Malaysia yang menjamin hak bersuara mahasiswa termasuk bertanding dalam pilihan raya?

"Atau sebenarnya Tok Pa ini takut pada bayang-bayangnya sendiri sehingga terpaksa menggunakan Auku dan berlindung di sebalik kepimpinan MPP Institusi Pengajian Tinggi sekarang ini seumpama dicucuk hidung?" tegasnya.

Menurut Azlan, kenyataan dan sikap Mustapa memperlihatkan bahawa mereka seolah-olah takut untuk bersemuka dan berdepan dengan PMN.

"Kenapa beliau perlu takut bersemuka dan berdepan dengan PMN? Bukankah UMNO/BN terlalu kuat dalam pentas politik nasional?" katanya lagi.

Jelasnya, PMN hanya tidak lebih daripada kalangan mahasiswa yang mahu bertanding di atas kapasiti golongan mahasiswa secara demokratik dan melunaskan tanggungjawab sebagai warga negara

Tambahnya, apa yang lebih menghairankan, Mustapa dengan sewenang-wenangnya mengerahkan semua Naib Canselor dan Timbalannya di seluruh IPT agar mengenakan tindakan tatatertib Auku kepada mahasiswa yang terlibat dalam politik kepartian di peringkat nasional.

"Mahasiswa sudah lama menolak AUKU kerana ia terlalu bodoh untuk dipatuhi oleh mereka. Mengapa hari ini, PMN perlu tunduk pada akta yang bodoh ini?"

"Kami bukan budak suruhan Tok Pa yang sanggup diperbodohkan, tetapi kami mahasiswa yang merdeka dan sanggup berdepan dengan apa jua ugutan KPT demi mengasak agenda perubahan dalam pilihan raya ini," demikian ujarnya.


MAHASISWA UTMKL

Tiada ulasan: