KUALA LUMPUR, 16 Jan - Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diingatkan agar tidak membiarkan diri mereka dipergunakan untuk kepentingan politik mana-mana pihak.
Pandangan tersebut dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Shafie Abu Bakar ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Prof Dr Hassan Said kepada semua Naib Canselor seluruh institusi pengajian tinggi awam supaya menghantar seramai 40 orang pelajar bagi setiap universiti menghadiri satu program anjuran Puteri Umno 13 Januari lalu.
"Jangan dipergunakan oleh pihak parti pemerintah untuk kepentingan mereka, meskipun ditekan dan dipaksa kerana mereka adalah merupakan pegawai kerajaan," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Tegasnya, pihak kerajaan Umno-BN bersikap 'double standard' yakni berat sebelah apabila mereka sendiri yang sebelum ini tidak membenarkan penglibatan mahasiswa dengan parti politik sebaliknya menjadi pihak yang melanggar peraturan yang telah dibuat.
"Hal ini membuktikan bahawa kerajaan tidak serius dalam setiap penguatkuasaan terhadap undang-undang yang dibuat, apatah lagi ia sepatutnya memberikan perhatian terhadap usaha pembinaan kualiti graduan yang bermutu," katanya lagi.
Shafie yang juga merupakan bekas pensyarah Jabatan Persuratan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan bahawa KPT kini tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengangkat martabat pengajian tinggi.
"Mungkin inilah yang menjadi punca tidak ada satu pun IPTA negara kita disenaraikan antara 200 universiti terbaik dunia," jelasnya.
KPT ujarnya tidak wajar bertindak bersekongkol dengan parti politik tersebut yang secara jelas membuktikan penyelewengan dan salah guna kuasa yang diberikan kepada mereka.
Shafie juga menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh pihak Umno-BN terhadap institusi pengajian tinggi sememangnya diketahui umum kerana mereka dengan bebas keluar masuk mengadakan program bersama mahasiswa di dalam kampus.
"Kita mendapat maklumat bahawa banyak program dianjurkan oleh Puteri Umno untuk mahasiswa di dalam UKM apatah lagi menggunakan tenaga kerja mahasiswa terbabit untuk kepentingan mereka," demikian ujarnya.
Malahan, tambahnya tidak hairanlah jika Puteri Umno mengerahkan mahasiswa bekerja untuk mereka semasa pilihan raya diadakan.
"Pihak universiti khususnya UKM juga membenarkan Umno-BN menggunakan kemudahan-kemudahan seperti dewan besar dan kuliah untuk menjalankan aktiviti mereka, parti-parti politik selain mereka tidak diberikan kebenaran sama sekali," tambahnya lagi.
Seminar bertajuk 'REAL Undergraduate Student Conference' anjuran Pergerakan Puteri Umno Malaysia pada 13 Januari lalu di Dewan Plenari, Putrajaya Convention Center (PICC) itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Surat arahan program tersebut juga telah dibuat salinan kepada Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia bertarikh 2 Januari lalu.
Sebelum ini telah didedahkan bagaimana beberapa pemimpin kanan Umno Kelantan mengarahkan Timbalan-timbalan Naib Canselor universiti tertentu agar mengerahkan mahasiswa yang berasal dari negeri itu dalam satu majlis dialog bertujuan untuk memastikan pelajar berkenaan akan menyokong BN dalam pilihan raya akan datang.
SISWA PEKA
Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik
Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com
Rabu, 16 Januari 2008
KPT diingatkan agar tidak diperalatkan pihak tertentu...
Posted by Student UTMKL at 10:14 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan