Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com

Rabu, 16 Januari 2008

Kadar jenayah paling tinggi di Kedah

POKOK SENA, 15 Jan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid didakwa tidak melaksanakan tugas dengan baik selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri hingga menyebabkan kadar jenayah di negeri ini tercacat sebagai paling tinggi di seluruh negara.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata, peningkatan sebanyak 45.01 peratus itu adalah yang paling tinggi di Malaysia, membuktikan jawatankuasa yang dipengerusikan Mahdzir gagal berfungsi untuk memelihara keselamatan rakyat di negeri ini.

"Sekarang tidak ada jaminan untuk rakyat negeri Kedah, kemampuan polis satu hal, tetapi jika persekitaran tidak boleh dikawal, ini menyebabkan jenayah kekerasan ini boleh meningkat mendadak," tegas beliau.

Haji Mahfuz yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah memberikan pandangan demikian dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Pokok Sena, berhubung laporan akhbar harian mengenai kadar kenaikan jenayah yang membimbangkan itu.

Katanya, jika dibandingkan dengan negeri jiran, MB Perlis, Shahidan Kassim lebih berjaya dari Mahdzir dalam mengawal keselamatan atas posisi beliau sebagai pengerusi majlis keselamatan negeri.

"Dalam mesyuarat mesti dibangkitkan perkara-perkara tersebut, tetapi Mahdzir tidak memandang serius dan hanya membiarkan angka itu terus meningkat; ini yang berlaku, jika tidak tentunya jumlah jenayah ini boleh diturunkan," sambung beliau lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kadar jenayah semakin meningkat didorong oleh peningkatan kos sara hidup dan tekanan kenaikan harga barang, sedangkan pendapatan rakyat tidak meningkat.

Kerajaan katanya, gagal membendung kenaikan kos sara hidup menyebabkan kesempitan kewangan; seterusnya mendorong segelintir rakyat mengambil jalan singkat melakukan jenayah.

"Bila berlaku kenaikan harga barang, kerajaan minta rakyat berjimat cermat; ini kenyataan yang amat melucukan dan tidak menyelesaikan masalah rakyat," sambung beliau lagi.

Selain itu katanya, pergolakan dan campur tangan samseng dalam institusi kepolisian terutamanya di Bukit Aman juga menggalakkan pelbagai kegiatan jenayah di kalangan masyarakat.

"Apabila samseng berkawan baik dengan polis, apa yang nak jadi pada negara?" soal Mahfuz.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga tidak menafikan bahawa apabila pegawai atasan polis termasuk Ketua Polis Negara didakwa mempunyai hubungan rapat dengan penjenayah; maka pihak atasan polis di peringkat negeri juga tidak boleh bertindak mengawal jenayah kerana mesti menunggu arahan dari Ketua Polis Negara.

"Akhirnya, negara ini akan hancur; budaya samseng, peras ugut, rasuah dan sebagainya akan bermaharajalela; rakyat akan menjadi lebih tertekan hidup di bawah kerajaan yang bersekongkol dengan penjenayah ini," ujar beliau lagi.


mahasiswa 0708

Tiada ulasan: