Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com

Khamis, 14 Februari 2008

Tempoh kempen lebih panjang perlukan akses media

KUALA LUMPUR, -Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 24 Februari dan hari pengundian pilihanraya umum ke-12 ialah pada 8 Mac ini.

Pengerusi SPR Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengumumkan demikian dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Putra Jaya hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat selepas pembubaran parlimen dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam.

Rashid berkata hari pembuangan undi tersebut jatuh pada hari permulaan cuti sekolah.

Katanya, SPR menentukan bahawa daftar pemilih induk 2007, yang diwartakan pada 5 Februari 2008 akan digunapakai untuk pilihan raya ini.

"Mengikut daftar pemilih tersebut terdapat seramai 10922139 orang pemilih layak mengundi iaitu 10701054 adalah pemilih awam dan 221085 pemilih pos layak mengundi dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Sehubungan itu katanya, SPR mengingatkan kepada semua pihak terutama parti-parti politik, calon-calon, petugas-petugas parti dan individu lain yang terlibat dalam pilihan raya umum ke 12 nanti memberi kerjasama kepada SPR.

Semua pihak diingatkan sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur pengurusan pilihan raya serta etika kempen yang ditetap dan akan dikeluarkan dari semasa ke semasa, kata Rashid.

Setiausaha Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Wan Nik Wan Yusof berkata, BN dijangka akan menggunakan kesempatan tempoh kempen yang panjang (14 hari ) untuk memperjelaskan segala isu bagi memulihkan sokongan rakyat kepada mereka.

Agenda tersembunyi Abdullah

"Mungkin Presiden Umno, Abdullah Badawi ada agenda tersembunyi untuk memjawab isu-isu dalam negara bagi mengekalkan sokongan rakyat kepadanya," katanya kepada Harakahdaiy.

Tegasnya, pihak pembangkang juga sudah bersedia untuk menghadapi strategi 3M yang diamalkan BN iaitu, 'machinery' (jentera kerajaan), media dan 'money' (wang) bagi memastikan kemenangan mereka dapat dipertahankan,

"3M merupakan kekangan yang dihadapi pembangkang yang digunakan kesempatan oleh Abdullah serta jenteranya," ujarnya.

Beliau menganggap apa yang dilakukan oleh Abdullah adalah kesan daripada rasa cemas terhadap sokongan terhadapnya yang kian merosot berdasarkan kajian yang dibuat oleh satu badan penyelidik.

Berpandukan kepada kajian tersebut, populariti Abdullah yang sebelum ini telah jatuh sebanyak 70 peratus, merosot lagi sebanyak 10 peratus baru-baru ini.

Sungguhpun tempoh tersebut lebih panjang daripada pilihan raya sebelum ini, Wan Nik berpendapat ia tidak memberikan keselesaan kepada pembangkang untuk menjalankan kempen.

"Hal ini adalah disebabkan tindakan kerajaan menafikan akses pembangkang terhadap media," katanya lagi.

Tempoh masih tidak cukup

Sementara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula merasakan bahawa tempoh kempen yang diperuntukkan tidak mencukupi akibat dinafikan hak untuk akses kepada media.

"Saya yakin dan pasti apa yang dilakukan ini adalah untuk menguntungkan Umno-BN semata-mata, bukan untuk memberi kemudahan dan keadilan kepada semua pihak," katanya semasa dihubungi Harakahdaily.

Selain itu, Naib Presiden KeADILan, Sivarasah Rasiah juga berpendapat sistem pilihan raya yang dijalankan di Malaysia merupakan antara sistem pilihan raya kuno serta tidak bertamadun.

"Walaupun tempoh berkempen dipanjangkan kepada 14 hari, ini tidak bermakna ia telah memberikan keadilan kepada semua pihak.

Tiada akses media


"Ia disebabkan pembangkang tidak diberikan ruang untuk akses kepada media arus perdana dan terpaksa bergantung dengan media alternatif yang tidak menyeluruh kepada rakyat," katanya.

Sivarasah yang juga merupakan pengamal undang-undang menegaskan hujah yang menyokong pendapat tersebut adalah berkaitan hak sebagai warganegara yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan.

"Saya mempertikaikan hal ini kerana ia adalah hak yang tertulis di dalam perlembagaan. Tempoh 14 hari adalah tidak cukup bagi pembangkang dalam keadaan hak untuk akses kepada media dicabuli.

"Bukan sekadar hendak puaskan hati kami di pihak pembangkang, tetapi hal ini berkait rapat dengan hak kita," tegasnya.

Bahkan beliau mencadangkan tempoh yang lebih selesa adalah selama 21 hari ke atas sebagai tempoh yang minimum untuk rakyat mengenali calon dan meneliti manifesto setiap parti.

"Pada pilihan raya umum 1960-an, tempoh kempen yang dibuat adalah selama 50 hari," ujarnya.

Bagaimanapun, Ketua Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff pula berpuas hati dengan tempoh kempen yang diumumkan SPR hari ini.

"Saya gembira dan berpuas hati dengan tempoh yang diberikan untuk memberikan peluang kepada rakyat mengenali calon dan menilai manifesto parti yang bertanding," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily./mr.wann

Tiada ulasan: