PUTRAJAYA 31 Mac – Permintaan Barisan Nasional (BN) Sabah supaya diberi lebih banyak wakil dalam Kabinet sebenarnya mewakili suara rakyat Sabah yang menjadi penyumbang terbesar kemenangan parti pemerintah itu sejak 1990-an.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, ia berikutan BN negeri berjaya membuktikan rekod hampir 100 peratus kemenangan pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan terbaru pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu.
‘‘Jangan nak cerita nombor sahaja (berapa jawatan menteri Kabinet untuk wakil Sabah)... nanti jumpalah Perdana Menteri dahulu.
‘‘Ini suara daripada rakyat Sabah yang sumbang banyak (kemenangan) sejak 1990-an. Kita (BN Sabah) perlu sedikit ganjaran selepas mencapai kemenangan besar,” kata beliau yang juga Menteri Perpaduan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini hari ini.
Mohd. Shafie ditanya jumlah jawatan Menteri yang dikehendaki oleh BN Sabah setelah pertemuan beberapa pemimpin BN negeri dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
Akhbar hari ini melaporkan Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok mahukan BN Sabah diberikan jumlah wakil yang seimbang dalam Kabinet Persekutuan selepas BN negeri itu menyapu 24 daripada 25 kerusi Parlimen yang ditandinginya pada pilihan raya lepas.
Sebelum itu, beberapa Ahli Parlimen Sabah berjumpa dengan Perdana Menteri bagi menyampaikan sentimen rakyat dan penyokong BN Sabah berhubung soal pelantikan wakil negeri itu dalam Kabinet.
Ditanya mengenai hasil perjumpaan tersebut, Mohd. Shafie berkata, perjumpaan tersebut merupakan satu proses untuk membawa pandangan akar umbi rakyat Sabah kepada Perdana Menteri.
Menurutnya, masing-masing Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu meningkatkan persefahaman antara satu sama lain khasnya dalam isu membabitkan pembangunan infrastruktur di negeri itu.
Katanya, walaupun beberapa kawasan di Sabah ketinggalan dari segi pembangunan tetapi rakyat negeri itu masih bersabar dan memahami keadaan tersebut.
‘‘Tempat seperti Cheras dan Bukit Bintang walaupun penduduknya menyokong pembangkang tetapi mereka memperoleh kemudahan yang lebih baik antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR) akan segera membaiki jalan yang rosak di situ.
‘‘Di kawasan saya, jalan di situ tidak bertar, ia memakan masa bertahun-tahun untuk membawa pembangunan ke situ. Kita bagaimanapun faham bahawa pembinaan bangsa bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik
Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com
Selasa, 1 April 2008
Menteri: Sabah terus desak
Posted by Student UTMKL at 6:26 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan