PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menafikan spekulasi yang beliau akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Abdullah mengulangi pendiriannya yang beliau tidak akan lari daripada tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri.
"Saya masih di sini. Saya masih di sini. Saya masih di sini. Mereka semua membuat spekulasi. Saya larilah. Saya letak jawatan. Kenapa perlu saya letak jawatan.
"Kerajaan saya mendapat majoriti besar (walaupun) bukan dua pertiga, tetapi amat kukuh... itulah sokongan yang diterima. Takkan saya nak lari, tinggal saya punya tanggungjawab," katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, di pejabatnya di sini.
Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi itu, yang timbul ekoran gesaan beberapa pemimpin termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang Abdullah patut memikul tanggungjawab bagi prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu dan meletakkan jawatan.
Kelmarin, pada satu forum anjuran sebuah laman berita internet di Petaling Jaya, bekas Perdana Menteri itu sekali lagi menggesa Abdullah berundur.
BN hilang majoriti dua pertiga dalam Parlimen selepas memenangi hanya 140 daripada 222 kerusi Parlimen manakala pembangkang memenangi 82 kerusi. BN juga tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain gagal merampas kembali Kelantan daripada Pas.
Abdullah yang jarang menghadiri majlis rasmi akhir-akhir ini, turut menyemarakkan spekulasi itu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata gesaan ahli dan bekas pemimpin Umno supaya Abdullah berundur bukan saja tidak adil, malah berniat jahat.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, beban kesalahan tidak seharusnya diletakkan ke atas Abdullah kerana kemerosotan prestasi BN itu disebabkan pelbagai faktor, terutama dakyah pembangkang yang disebarkan menerusi internet.
Katanya, ahli dan pemimpin parti di peringkat bahagian dan negeri sepatutnya melihat faktor sebenar kemerosotan sokongan rakyat, termasuk kelemahan masing-masing dan membantu pucuk kepemimpinan melakukan pemulihan bagi memperkasakan semula Umno dan BN.
"Yang paling tidak adil ialah melonggok perkara itu atas Perdana Menteri. Saya fikir ini tidak adil dan berniat jahat... lain yang bengkak, lain pula yang bernanah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Muhammad berkata, soal Abdullah perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno tidak timbul kerana BN masih menang dengan majoriti selesa pada pilihan raya umum lalu.
Malah, katanya, Dr Mahathir juga tidak digesa meletakkan jawatan walaupun selepas BN kehilangan Sabah dan Terengganu pada pilihan raya umum sebelum ini, sebaliknya diberi peluang memperkukuhkan semula parti.
"Jika benar Abdullah adalah faktor kemerosotan prestasi BN, sudah tentu negeri lain seperti Johor, Terengganu dan Pahang akan turut jatuh ke tangan parti pembangkang. Ada juga tuduhan seolah-olah senarai calon dicadangkan orang lain. Sebenarnya cadangan itu dikemukakan Pengerusi BN negeri dan hampir semua diterima," katanya.
Muhammad berkata, antara faktor kemerosotan sokongan terhadap BN ialah dakyah pembangkang yang disebarkan menerusi blog dan laman berita antikerajaan serta pengedaran cakera padat video (VCD) kononnya pihak berkuasa bertindak melampau ketika merobohkan sebuah kuil Hindu dua hari sebelum hari mengundi.
Katanya, pembohongan pembangkang itu dilakukan secara berterusan menerusi internet sehingga ramai pengundi terpengaruh dan membenci kerajaan.
"Ia sudah jadi pilihan raya maya, bukan pilihan raya realiti. BN tewas dalam pilihan raya maya. Tak adil berlawan cara ini, seolah-olah BN diikat tangan ke belakang," katanya yang mengakui pembangkang memanfaatkan sepenuhnya kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mempengaruhi pengundi.
Beliau berkata, keadaan ini diburukkan lagi apabila Dr Mahathir sebagai bekas pemimpin yang berpengaruh, menghentam kerajaan dan pucuk kepemimpinan parti, sekali gus memberi kelebihan kepada pembangkang.
"Memanglah kita menggelupur bila guru silat kita pukul kita masa kita bertarung dengan orang lain... guru kita pukul kita, kita bukan berlawan dengan satu orang, kita berlawan dengan guru kita dan guru silat kita pula terkenal di seluruh negara," katanya.
Ditanya kenapa tindakan disiplin tidak diambil terhadap ahli parti yang membantu pembangkang, Muhammad berkata: "Orang tak berani cadang supaya diambil tindakan disiplin sebab pemimpin itu pemimpin besar, suaranya didengar dan dihormati di seluruh dunia.
"Tapi, hari ini, oleh kerana orang itu orang kebal, tindakan disiplin tidak boleh diambil ke atasnya. Lagi sekali, kita tak nampak keadilan dan sekali lagi Pak Lah jadi mangsa."
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, pula menafikan Abdullah mengongkong dan tidak membenarkan ahli MT menyatakan pendirian masing-masing secara bebas.
"Mana dia (Dr Mahathir) tahu... dia tak duduk dalam mesyuarat, dakwaan beliau ahli MT hanya ikut perintah Abdullah adalah satu kenyataan umum.
"Satu perkara yang berbeza mengenai Abdullah ialah beliau tidak kongkong dan awak boleh tengok reaksi dan kenyataan yang kami beri kepada media berbeza-beza," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.
Ditanya mengapa wujud persepsi ahli MT sebagai 'pak turut' seperti yang didakwa Dr Mahathir, Mohd Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata: "Tanyalah Dr Mahathir mengapa wujud persepsi sedemikian."
Mohd Khaled juga meminta orang ramai lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai dakwaan terdapat pakatan antara Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding merebut jawatan tertinggi parti.
"Ada pihak menggunakan SMS untuk menyebarkan khabar angin dan fitnah. Lihat saja kesan daripada penggunaan SMS dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 dan ia berbahaya," katanya.
anti pak lah
Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik
Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com
Khamis, 3 April 2008
Berita Harian:PM ulangi pendirian tidak akan lari daripada tanggungjawab terajui negara(memang dasar pak lah tak tahu malu)
Posted by Student UTMKL at 11:45 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan