Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com

Jumaat, 6 Jun 2008

Protes beri kerajaan tempoh 5 minggu tarik balik harga minyak


Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) memberi tempoh lima minggu kepada kerajaan untuk menarik balik kenaikan harga minyak serta bertindak positif terhadap permintaan rakyat sebelum gabungan tersebut mengadakan demonstrasi besar-besaran pada 12 Julai 2008 ini.

ImageAmaran tersebut dilontarkan Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli melalui persetujuan yang dicapai melalui mesyuarat sekretariat Protes bagi mengambil tindakan dan langkah seterusnya bagi menyedarkan dan meminta kerajaan untuk menurunkan semula harga minyak.

Mesyuarat tersebut dihadiri beberapa orang wakil NGO dan parti politik yang bertempat di Pejabat Agung PAS, pagi tadi.

Hatta dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut berkata, perhimpunan di KLCC pada jam 3 itu dijangka menghimpunkan lebih 100,000 rakyat.

"Kami juga mempunyai masa lima minggu untuk merancang menggerakkan rakyat sepertimana menggerakkan himpunan Bersih tahun lepas. Tindakan kami tidak jauh beza sewaktu kenaikan harga minyak 30 sen yang lalu. Walaupun kami ditekan dengan pelbagai insiden termasuk 'Bloody Sunday' dalam siri-siri bantahan kami, namun ia akan tetap diteruskan.

"Ada yang mengatakan apa ada pada demonstrasi kerana menyusahkan rakyat, sehingga ada yang terpaksa menutup kedai mereka kerana tidak dapat berniaga pada hari tersebut. Tetapi kesannya ialah keputusan pilihan raya ke-12 lalu. Rakyat sudah faham akan isu ini dan mengambil tindakan pada pilihan raya," katanya.

Katanya, sebagai gerakan pertama bantahan Protes, satu perhimpunan akan diadakan di Seremban pada 14 Jun ini (Sabtu) diikuti 'road show' ke setiap negeri berdasarkan tarikh yang akan ditetapkan nanti.

ImageTambahnya pada setiap siri bantahan tersebut, Protes akan mengedarkan risalah yang mengandungi hujah-hujah bagi menangkis kenyataan kerajaan berkenaan kenaikan harga bahan api itu.

Dalam pada itu katanya orang ramai juga boleh melayari blog Protes, hargaminyak@blogspot.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya yang akan mengemas kini tindakan yang diambil oleh Protes dari semasa ke semasa.

Selain itu katanya, Protes juga akan meminta Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mendapatkan sokongan daripada parti Pakatan Rakyat bagi mengadakan aktiviti bantahan kenaikan harga minyak ini di tempat masing-masing.

Jelasnya Protes juga akan menghubungi negeri-negeri yang dinaungi Pakatan Rakyat bagi tindakan bersama. Beliau percaya kelima-lima negeri tersebut mempunyai kuasa untuk mempengaruhi rakyat dan boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat kerajaan pusat.

Sementara itu katanya, Protes juga menggalakkan sebarang organisasi bagi melaksanakan bantahan kerana isu ini bukan hanya melibatkan golongan tertentu tetapi melibatkan semua golongan masyarakat.

Selain itu katanya Protes juga mengalukan mana-mana pihak untuk mengadakan bantahan setiap minggu seperti selepas solat Jumaat di kawasan masing-masing.

"Kemarahan ini menyeluruh dan bukan tindakan politik semata-mata. Kesannya dirasai oleh semua, hinggakan kita dapat melihat bagaimana keadaan kelam kabut apabila rakyat agak terdesak dengan mengisi minyak sebelum tengah malam tadi.

"Jika kerajaan memikirkan masa depan politiknya, seharus kerajaan mengambil tindakan di atas bantahan rakyat ini. Jika kerajaan tidak prihatin juga dengan segala bantahan kita melalui siri ceramah dan demonstrasi, kami akan meneruskan tindakan selanjutnya selepas perhimpunan 12 Julai nanti," katanya.

Sehubungan itu katanya, jika kerajaan mengambil tindakan menolak segala hasrat rakyat, Protes akan akan mengorak langkah lagi bagi menganjurkan beberapa tindakan massa yang boleh memberi petunjuk kepada kerajaan.

Beliau menaruh keyakinan dengan kenaikan mendadak tersebut usaha yang dilakukan Protes itu akan memberi impak kepada kerajaan.

Kenaikan tersebut katanya sewaktu kerajan tidak bersedia melaksanakan polisi-polisi yang membantu rakyat terlebih dahulu untuk menyediakan mereka yang berdepan dengan suasana tidak mempunyai subsidi.

"Kerajaan tidak meluluskan tuntutan gaji minima yang dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) dan Pakatan Rakyat dengan memberikan pelbagai alasan. Kerajaan tidak menyediakan tahap gaji yang sama seperti negara maju yang lain. Contohnya Singapura sebelum berhujah bahawa harga minyak Malaysia lebih rendah daripada Singapura.

"Gaji kakitangan awam tidak setimpal dan kesan kenaikan bahan api yang tinggi ini tentu tidak akan dapat 'offset' dengan gaji yang sedia ada termasuk kenaikan harga barang sebelum ini yang menyusahkan rakyat. Tabung Pemberhentian Kerja yang dicadangkan MTUC juga ditolak, sedangkan ini merupakan salah satu cara membantu rakyat yang kehilangan kerja," katanya.

Jelasnya tindakan kerajaan menolak tuntutan rakyat ini, tidak memberi keadaan adil kepada rakyat apabila berlaku kenaikan harga minyak dan barang.

Sementara itu mengulas mengenai rebet yang disediakan oleh kerajaan, beliau berkata ia umpama 'umpan' pilihan raya untuk menakluk hati rakyat. "Setiap kali pilihan raya ada 'umpan' seperti ini untuk memujuk rakyat. Dengan RM50 mereka mengundi BN dan mereka menderita lima tahun hanya kerana 'umpan' RM50 itu. RM625 untuk menyelamatkan 800 liter minyak, dalam masa sebulan atau dua akan habis.

"Janganlah rebet ini digunakan untuk 'menggula-gulakan' seolah-olah kerajaan bersimpati dengan rakyat. Kami menganggap ini merupakan salah satu cara untuk memujuk rakyat supaya menerima 'malapetaka' yang lebih besar," katanya yang mengharapkan rakyat tidak terpukau dan tertipu dengan pemberian rebet tersebut.

syabab

Tiada ulasan: