Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com

Isnin, 29 Mac 2010

Kelantan Telah Buktikan Perubahan Boleh Dilakukan

JOM HEBOH KELANTAN SANTUNI MISI EKONOMI - DAKWAH

Posted by MisbahulMunir Monday, March 29, 2010

Penghujung tahun lalu, Karnival Jom Heboh TV3 telah diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 4,5 dan 6 Disember 2009. Seperti biasa Jom Heboh yang dimuatkan dengan acara hiburan, promosi perniagaan dan beli belah. Pun begitu, acara yang sentiasa mendapat sambutan hangat adalah biasa dikenali sebagai rancangan hiburan melibatkan pelbagai lapisan artis. Namun, tidak kurang juga sambutan ribuan orang ramai kepada konvensyen jutawan, gerai promosi Malaysian Biotechnology serta jualan pelbagai jenama perkhidmatan telefon selular.

Sehubungan itu, Jom Heboh lebih popular sebagai karnival hiburan, walaupun kandungannya bersifat berimbang antara matlamat hiburan dengan perniagaan. Dalam menangani soal ini, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pernah menegur penganjuran Sure Heboh (lihat Malaysiakini.com, 30 Julai 2004) sebagai program hiburan yang melampau mengundang pelbagai kesan maksiat.

Dari Sure Heboh ke Jom Heboh

Mungkin atas teguran Mufti Perak, pihak TV3 telah membuat penyesuaian dengan mengurangkan unsur budaya barat dan mengutamakan orientasi hiburan berkonsepkan kekeluargaan dan perniagaan serta mempromosi mesej kerajaan.

Sensitiviti itu dijadikan sebab bagi TV3 selaku penganjur menukar nama dan konsep Sure Heboh kepada Jom Heboh. Ia boleh berlaku atas sifat TV3 sebagai saluran televisyen swasta yang dipacu oleh orientasi untung perniagaan. Maka, tidaklah pelik bagi TV3 mengambilnya sebagai pencetus bagi mendapat sambutan lebih hangat pelbagai golongan masyarakat dan tidak sahaja golongan muda yang berwatak “happy go lucky.”

Ketika Jom Heboh dikenali dengan Sure Heboh dulu, boleh dikatakan hampir semua bandar besar telah menerima penganjuran karnival TV3 itu yang dimulakan sejak tahun 2003. Sambutan di Johor Baru melebihi 200,000 orang, Melaka melebihi 300,000, di Kuantan 400,000 dan Pulau Pinang melebihi 450,000 dan paling ramai di Ipoh mencecah 500,000 orang.

Dengan persembahan baru pihak penganjur dijangka lebih berjaya menarik lebih ramai pengunjung kalangan ibu-bapa dan para pelajar, di samping golongan peniaga, usahawan dan peminat hiburan. Oleh itu, Karnival Jom Heboh Kelantan dijangka mendapat sambutan hebat seperti mana sambutan kepada beberapa konsert hiburan alternatif seperti Konsert Tautan Kasih melibat penyanyi popular Mawi satu ketika dulu.

Jom Heboh Kelantan

Kini sudah heboh pula, Jom Heboh memasuki Negeri Kelantan, bumi Serambi Mekah yang dipimpin oleh menteri besar, seorang ulamak. Apa jampi yang TV3 tiupkan kepada kerajaan Negeri Kelantan tidaklah dipastikan. Apa yang pasti, pada 26-27 Mac nanti Kelantan sebuah negeri yang meletakkan panduan syariat sebagai asas pentadbiran menjadi tuan rumah. Menteri Besarnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat komited di dalam merealisasikan dasar hiburan berkonsepkan dakwah dan terkawal. Menerusi dasar hiburan itulah diterapkan penguatkuasaan halal dan haram, termasuklah untuk penganjuran Jom Heboh itu.

Kesemua aspek dasar hiburan itu terkandung di dalam enam prinsip dan garis panduan utama Dasar Kebudayaan Negeri Kelantan 1998. Antaranya mestilah berlandaskan Islam bagi mencapai keredaan Allah, apa-apa unsur kebudayaan luar hendaklah selaras dengan prinsip Islam, boleh diamalkan kebudayaan setiap kaum tetapi hanya untuk kaum tersebut, mengutamakan pembangunan yang mengambil kira nilai budaya setempat dan selaras dengan Islam, berlaku pengasingan lelaki dan wanita, dan amalan kebudayaan yang bercanggah dengan hukum syarak hendaklah disesuaikan dengan syarak.

Menjelaskan perkara itu (TheMalaysiainsider.com, 6 Mac 2010), Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata persetujuan kerajaan itu hasil perbincangan antara pihak Media Prima dan kerajaan negeri. Asas kawalan utama adalah tetap melarang penyanyi wanita membuat persembahan, di samping penonton hendaklah diasingkan mengikut tiga kategori iaitu berkeluarga, lelaki dan wanita.
“Keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini, berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui kedua-dua pihak.”

“Pihak berkenaan (TV3) memperakukan segala peraturan dan syarat-syarat pertunjukan itu, kerajaan negeri sedia menerima konsert itu tahun ini.”

“Turut diadakan sempena Jom Heboh itu ialah satu slot khas bercorak agama yang melibatkan penyertaan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” jelas Takiyuddin.

Kandungan Jom Heboh itu dipastikan memenuhi kehendak Dasar Kebudayaan Negeri Kelantan. Antaranya, pada malam 27 Mac program hiburan yang diadakan hanya menampilkan artis lelaki termasuk Jay Jay, Jamal Abdillah, Kumpulan Raihan dan Megat Nordin.

Difahamkan ketika Jom Heboh di Bukit Jalil tahun lalu, pihak Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) turut membuka khemah pameran dan penerangan mengenai kemajuan teknologi berasaskan bio itu.

Sebelum itu, pihak BiotechCorp turut menyertai Jom Heboh di Danga Bay Johor, Petrajaya Kuching dan Batu Kawan Pulau Pinang. Sambutannya amat baik dan hangat yang sekali gus telah mendedahkan kepada golongan muda dan generasi awal mengenai teknologi baru untuk kelestarian hidup ummah sejagat. Ini kerana BiotechCorp merupakan peneraju utama industri berasaskan biotechnology yang dikenal pasti sebagai peneraju penting ke arah pembangunan masa depan negara dalam bidang ekonomi yang berkaitan.

Dalam konteks ini, ia selari dengan dasar Kerajaan Negeri Kelantan yang telah menubuhkan Kelantan Biotech Corporation Sdn. Bhd. Bagi Jom Heboh Kelantan kali ini, Kelantan Biotech difahamkan turut sama menyertai BiotechCorp bagi mempromosikan komitmen Negeri Kelantan di dalam perkembangan teknologi bio itu.

Sudah tentu, rakyat Kelantan akan dapat menyaksikan tanda-tanda kebesaran Tuhan yang menjadi misi Kelantan Biotech di dalam mempromosikan kejadian-Nya melalui sifat semula jadi serta biologinya. Sehingga kini, Kelantan Biotech telah memproses pelbagai produk menggunakan bioteknologi untuk manfaat pembangunan usahawan, perniagaan dan pengenalan produk biobahan novel (penemuan baru).

Peluang memacu ekonomi

Bukan sekadar itu, difahamkan banyak lagi pameran perniagaan dan bidang keusahawanan akan turut serta di dalam Jom Heboh Kelantan kali ini. Ia adalah peluang bagi agensi negeri menjadikan Jom Heboh sebagai pemacu ekonomi negeri dan pelancongan, kerana bersesuaian dengan cuti Keputeraan Al-Sultan Kelantan. Ia juga merupakan peluang bagi pelbagai syarikat, termasuk produk batik, kraft tangan, kesihatan dan pemakanan asli keluaran usahawan Kelantan yang begitu banyak aktif di negeri ini.

Antara yang mengesahkan penyertaan adalah produk perubatan Islam dan ubat-ubatan tradisional daripada pelbagai jenama. Di samping agensi Kerajaan Negeri Kelantan seperti Urusetia Penerangan sedia mempamerkan kemajuan dasar dan program pembangunan Negeri selama 20 tahun di bawah kepemimpinan ulamak.

Begitu juga, difahamkan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan menerusi pelbagai syarikat anak sedia mempromosi produk pembangunannya. Antaranya, menerusi Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad akan dipamerkan pelbagai produk Kelantan Best jenis makanan dan minuman; Binaraya mempromosikan produk perumahan, An-Nisa produk klinik bersalin dan Ar-Rahn dengan produk gadaian Islam.

Pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKBBRI) dimaklumkan turut memberi kerjasama bagi memastikan Jom Heboh berjalan dengan jayanya. Malah MPKBBRI turut terlibat dengan acara perlawanan bola sepak persahabatan antara Pasukan VVIP Negeri Kelantan diketuai Pengerusi Kerajaan Tempatan, Datuk Takiyudin Hassan dengan Pasukan TV3 di sebelah malamnya.

Menyampai misi dakwah

Apa yang penting diambil perhatian, peluang Jom Heboh Kelantan kali ini adalah medan pelbagai kumpulan pengunjung sedia hadir. Paling utama harus dilihat kumpulan pengunjung remaja dan ibu-bapa. Masa itulah pelbagai pihak dari agensi dakwah, Pemuda, Pasukan Amal dan Pasukan Nisa’ serta Muslimat turut menyampaikan risalah penerangan dan seruan keagamaan serta pendekatan terbaik untuk ibu-bapa dan anak-anak mereka. Sewajarnya, pihak penganjur memberi laluan kepada usaha sisipan dakwah itu demi mendapat manfaat bersama bagi keharmonian rakyat Kelantan.

Semoga Tuhan Yang Esa mengawasi dan memberkati perjalanan hidup dan pentadbir Negeri Kelantan sepanjang masa.

Wan Nik Yusuf
Setpol YAB MB Kelantan





Jumaat, 26 Mac 2010

Ratusan umat Islam bantah akhbar Sweden

Abdul Rahim Sabri
Mac 26, 10
3:33pm

Kira-kira 500 umat Islam berkumpul di depan kedutaan Sweden di ibu negara bagi menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan tiga akhbar Sweden yang didakwa menghina Nabi Muhammad hari ini.

Sejurus selepas menunaikan solat Jumaat di masjid bersebelahan bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak, mereka berarak di kedutaan tersebut, kira-kira 500 meter sahaja daripada tempat tersebut.

Kumpulan tersebut diketuai Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim.

Di samping bertakbir dan berselawat, mereka melaungkan slogan anti-Sweden seperti “Biadap Sweden” dan “Jahanam Sweden”.

Mereka juga membawa kain rentang dan poster bertulis “Kami kasih Nabi", “Jangan Hina Nabi Muhammad” dan "Kami berjuang untuk nabi kami".

Kelihatan kira-kira 40 anggota polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal sekitar kawasan tersebut. Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Setibanya kumpulan itu ke kedutaan negara terbabit di Plaza OSK, Jalan Ampang kira-kira jam 2.15 petang, Nasrudin dan Jais kelihatan naik ke pejabat kedutaan tersebut di tingkat 8 untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.

Memorandum dua halaman itu - ditandatangani 19 NGO Islam - antaranya menuntut kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap tiga akhbar terbabit yang didakwa menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Selepas itu, pemimpin tersebut turun dan berucap kepada kumpulan penunjuk perasaan tersebut, sebelum disudahi dengan tindakan Nasrudin membakar bendera Sweden kira-kira jam 3.00 petang.

Sebelum ini, dilaporkan lakaran karikatur yang menggambarkan kepala Nabi Muhammad pada badan anjing - karya pelukis Sweden Lars Vilks - dikemukakan sebagai bahan pameran di sebuah pusat warisan budaya Sweden.

Bagaimanapun, lakaran itu ditolak atas sebab-sebab keselamatan.

Namun, sebuah akhbar Sweden kemudian menyiarkannya bersama tulisan editorial yang mempertahankan kebebasan bersuara. Tiga lagi akhbar Sweden kemudiannya turut menyiarkan semula karikatur itu.

Tindakan itu yang membawa kepada bantahan negara-negara Islam sehingga Vilks menerima beberapa ancaman bunuh.

Sumber : http://malaysiakini.com

Isnin, 22 Mac 2010

1Malaysia tidak sampai di Ireland : Pelajar Malaysia diugut jangan bertemu dengan pemimpin PR.


Semangat IMalaysia yang dilaungkan oleh Najib dan kerajaan yang telah membelanjakan wang jutaan ringgit untuk disebarkan luaskan kepada semua peringkat rakyat dari pegawai kerajaan sehinggalah kepada rakyat biasa.. Sebenarnya bukan tujuan saya untuk membenarkan dasar ini namun yang dikesali ternyata ianya sebagai satu gimik politik dan dasar yang cuma menjadi mainan politik pemimpin BN namun jauh untuk dilaksanakan oleh mereka sendiri termasuklah oleh pegawai kerajaan di bawahnya.

Realiti kepada apa yang berlaku di Ireland dimana sesampai kami disini dimaklumkan hampir semua pelajar tajaan kerajaan seperti dari MARA, JPA dan sebagainya telah diugut oleh jabatan penuntut Malaysia disini dari menhadiri apa saya program yang diatur oleh Kelab Penyokong PAS Ireland yang suatu masa dulu di rasmikan oleh Presiden PAS Sendir.

Secara umumnya tindakan yang dilakukan oleh Pegawai jabatan penuntut yang sering dilakukan bila ada saja pemimpin Pakatan Rakyat samapoi disini adalah satu lumrah. Malah telah ada pelajar Malaysia yang ditarik biasiswa kerana hadir dalam program bersama pemimpin PAS. Sedangkan bila ada saja pemimpin BN dan UMNO yang sampai malah diadakan satu program khusus dan semuanya dipaksa hadir.

Namun saya tetap mengucapkan terima kasih kepada pegawai tersebut yang telah melakukan tindakan double standard yang ternyata menambahkan kebencian rakyat Malysia termasuk penuntut Malaysia yang diugut itu kepada UMNO dan BN. Inilah rupa pegawai yang dilahirkan selama 50 tahun BN memerintah.

Teruskanlah kerja saudara sampai keahir perkhidmatan yang ada disini dan ingat bahawa kepuasan yang anda perolihi hanya untuk BN dan UMNO dan rakyat Malaysia akan menyimpan dalam hati kecil mereka untuk menghukum BN bila balik ke Malaysia nanti.

Ahad, 21 Mac 2010

Pandangan Ulamak Perlu Didahulukan

Kami minta pemimpin kerajaan Malaysia dan masyarakat mengutamakan pandangan Ulamak dalam apa-apa perkara. Kita tidak mahu perkara yang diputuskan itu terutamanya diperingkat kerajaan hanyalah mengikut pandangan cetek dan nafsu semata-mata. Apatah lagi perkara yang bersangkutan dengan agama kita 'Islam'.

Penggunaan 'Salam 1 Malaysia' di Malaysia sekarang ini sudah semakin menjadi penggunaan yang mesti digunakan kononnya mendokong apa yang dibawa oleh Najib. Niat Najib bagus, mahu menyatukan seluruh rakyat Malaysia. Tetapi sejauh manakah keberkesanannya, Najib sendiri pun tak mahu bersatu dengan sebahagian rakyat malaysia. Tapi bukan itu yang nak dibincangkan, yang mahu dipersoalkan di sini adakah penggunaan 'Salam 1 Malaysia' itu boleh dan tidak salah dari sisi Islam.

Sebutan asalnya ialah 'Assalamu'alaikum' selamat sejahtera ke atas kamu. Kenapa kita hendak perkecilkan skop salam itu kepada 1 Malaysia sedangkan Islam itu luas. Sekiranya penggunaannya salah disisi Islam, kenapa perlu diteruskan. Tetapi belum ada lagi mereka yang berani menyatakan hkum keatas perkara ini.

Pernah perkara ini diminta kaji semula,

Kaji semula ucapan 'Salam 1Malaysia' - ulama

Mohd Yusri Amin

KOTA BHARU, 14 Dis: Selepas Islam Hadhari tenggelam bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi, kini rakyat digalakkan melakukan perbuatan bidaah (tidak menjadi amalan Nabi Muhammad saw) apabila dipaksa melafazkan ucapan 'Salam 1Malaysia’.

Ulama menjelaskan ucapan seperti itu merupakan satu perbuatan bidaah dan tidak ada dalam Islam.

Malah, kata mereka ucapan itu seperti mempersendakan Islam yang menganjur umatnya melafaz ucapan 'assalamu alaikum warahmatullahi wabarakaatuh'.

Sehubungan itu, ia perlu dikaji semula dan pandangan dari para ulama yang adil perlu diambil untuk menilainya.

Bekas Yang Dipertua Abim Kelantan, Mohamad Mustafa berkata, ucapan Salam 1Malaysia adalah salam nasionalisme yang berpangkal kepada tuntutan agama.

"Rasulullah saw tidak pernah mengajar 'Salam 1Madinah ketika baginda mula-mula menegakkan kerajaan Islam selepas diusirkan kafir Quraisy dari Mekah.

“Sekiranya mahu melaksanakan Islam dan bukan menjadi penghancur kepada amalan Islam berilah salam yang sempurna. Ini sesuatu yang cukup memalukan umat Islam di negara ini," katanya.

Ucapan Salam 1Malaysia kini seperti menjadi peraturan yang diwajibkan pembaca berita di media elektronik di negara ini. Ucapan itu dilafazkan ketika awal dan akhir membaca berita.

Bagaimanapun ramai ulama yang mencari makan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menegur perbuatan tersebut biar pun ia jelas bercanggah dengan Islam.

Begitu juga Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria membisu. Beliau sebelum ini dilihat lebih cepat mengkriitik dan mempersendakan pemimpin PAS.

Mohamad yang juga Adun Demit turut meluahkan rasa curiga terhadap slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' kerana dalam ajaran Islam mestilah Allah swt didahulukan dalam segala hal.

Katanya juga, tauhid amali tidak dilaksanakan kerajaan BN sejak menerajui negara ini pada 1957.

“Dari segi dasar pemerintahan negara, Islam tidak dimartabatkan sebab Allah swt tidak didahulukan, bahkan Islam kerana hak Allah swt tidak ditunaikan.

“Mereka telah mensyirikkan Allah SWT dengan menduakan sistem dalam melaksanakan undang-undang. Inilah yang dinamakan sebagai syirik nasional,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, konsep 1Malaysia yang dilaungkan perdana menteri sekarang sekadar mengajak rakyat bersatu di atas dasar seperti diamalkan di United State America.

Sedangkan kata beliau penyatuan sebenar bagi umat Islam berdasarkan kepada tauhid.



Jadi timbul keraguan dalam perkara ini.

Rabu, 17 Mac 2010

Bukti kukuh Kelantan berhak dapat royalti

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Surat Petronas kepada kerajaan negeri Terengganu dan perjanjian di antara Petronas dengan Menteri Besar Kelantan antara dua dokumen penting yang mampu menyangkal alasan tiga batu nautika untuk tidak memberi bayaran royalti kepada Kelantan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub berkata, penemuan bukti terbaru itu merupakan hujah yang kukuh untuk dibawa ke Parlimen, bagi memperjuangkan hak rakyat negeri Kelantan.

"Saya telah dapat beberapa penemuan baru selepas Parlimen ditanguhkan akhir tahun lepas dan kita tetap tidak bersetuju sama sekali dengan jawapan Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri tentang isu tiga batu nautika dan di sini saya telah membawa dua dokumen penting," katanya yang juga naib presiden PAS.

Petronas dalam suratnya kepada kerajaan Terengganu bertarikh 16 September 1978 menjelaskan bahawa anggaran bayaran royalti minyak petroleum iaitu sebanyak RM3.2 bilion disebut sebagai bayaran royalti dan tidak menyebut langsung mengenai isu di luar tiga batu nautika.

"Kalau isu tiga batu nautika itu dipertikaikan dan di Terengganu itu memang melebihi tiga batu nautika dan dalam surat petronas kepada pegawai kewangan negeri Terengganu menyebut dengan jelas bahawa anggaran bayaran royalti minyak petroluem 3.2 bilion.

Ini disebut sebagai bayaran royalti. Tidak timbul sama sekali tentang bayaran wang ehsan, isu tiga batu nautika, ataupun isu untuk menafikan fakta mana-mana telaga yang dijumpai di luar pantai,," katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi ini.

Mengenai perjanjian di antara Petronas dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasir yang dibuat pada 19 Mei 1975 pula katanya juga tidak disebut mengenai isu tiga batu nautika.

"Sekiranya kita meneliti keseluruhan perjanjian itu tidak langsung menyebut tentang isu tiga batu nautika.

"Di sini jelas memperuntukkan bahawa Petronas sebagai balasan kepada apa yang dikatakan keistimewaan mengenai petroleum yang diletak hakkan pada petronas ialah dengan ini dimeterai. Tidak timbul langsung soal tiga batu nautika, tapi yang penting selagi mana ia diletakkan dalam perairan tersebut," jelasnya.

Namun malangnya usul beliau mencadangkan Dewan Rakyat membincangkan isu berkaitan hak negeri Kelantan dan negeri-negeri lain dalam Malaysia untuk mendapatkan royalti petroleum yang dihantar pada 10 Mac lepas, telah ditolak Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi tadi.

"Ini sebenarnya hujah yang kuat untuk saya bawa usul ini ke Parlimen dan untuk dimasukkan sebagai usul tergempar bagi meyakinkan Parlimen bahawa jawapan yang diberikan oleh Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri dalam perbahasan yang lalu aadalah sama sekali tidak menepati syarat-syarart peundangan dan perjanjian yang telah ditandatangani di antara Petronas dan kerajaan negeri," katanya.

Beliau memberitahu, Pandikar menolak usul tersebut atas alasan ianya tidak perlu disegerakan.

Namun tegasnya, penolakan usul itu tidak akan mematahkan semangat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk terus membawa isu itu ke Dewan Rakyat.

"Usul ini ditolak sebab tidak perlu untuk disegerakan. Namun kita berjanji sebagai ahli parlimen akan terus membawa topik ini sebagai topik yang penting dalam perbahasan titah diraja dan semua daripada kami akan mengambil bahagian," katanya.

Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri dalam sesi Dewan Rakyat yang lepas berkata, Kelantan tidak berhak mendapat royalti petroleum kerana telaga minyak terletak di luar tiga batu nautika dari perairan negeri.