Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

Sebarang cadangan sila e-melkan gelombang_mahasiswa@yahoo.com

Isnin, 28 Januari 2008

Tangkapan terhadap rakyat, polis mengganas bagaikan dirasuk

Kebiadapan dan keganasan anggota polis menangkap secara rambang peserta perhimpunan aman menentang kenaikan harga barangan di KLCC menunjukkan seolah-olah kerajaan BN melaksanakan sistem kuku besi.

Belum sempat peserta berkumpul menyuarakan bantahan, polis terus membuat tangkapan bermula jam 2.45 petang di hadapan Suria KLCC.

Tangkapan awal dilakukan terhadap empat anggota Unit Amal diikuti lapan orang termasuk Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat, Atirah Aiman Al-Jundi di Ampang Park.

Sejurus itu, polis bagaikan dirasuk terus membuat tangkapan walaupun tiada laungan memprotes atau pengedaran risalah dilakukan peserta perhimpunan. (Gambar - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad sedang diheret kasar polis)

Image Dalam perbualan wartawan dengan anggota polis, mereka mengakui mendapat arahan daripada pihak atasan supaya membuat tangkapan terhadap sesiapa sahaja yang cuba berhimpun di sekitar KLCC dan Ampang Park.

Anggota polis, Rela dan SB berada di merata-rata tempat. Mereka tidak memberi peluang langsung terhadap peserta perhimpunan untuk berkumpul.

Enam trak polis penuh disumbat dengan peserta perhimpunan untuk dihantar ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis, Kuala Lumpur (IPK).

Polis bertindak cekap dan pantas dalam penangkapan tersebut. Bermula jam 2.45 hingga 4.15 petang polis telah menangkap 58 orang peserta perhimpunan dan dibawa ke IPK.

Apa hak rakyat ditangkap sebelum sempat menyuarakan bantahan? Apakah kerajaan BN benar-benar takut dengan kebangkitan rakyat sehingga mengarahkan polis bertindak ganas dan biadap terhadap peserta perhimpunan?

Sebelum ini, dalam mana-mana perhimpunan aman anjuran Protes atau PAS belum ada peserta yang membawa sebarang alat berbahaya seperti pisau, cangkul, keris, parang untuk berlawan dengan anggota polis.

Mereka hanya membawa mulut, tangan, kaki, kain rentang dan risalah. Kandungan risalah dan kain rentang hanya untuk menyedarkan rakyat tentang keadaan kerajaan BN yang semakin menekan kehidupan rakyat. Itu saja.

Malangnya, anggota polis telah berlawan dengan rakyat secara ganas. Polis dengan segala kelengkapan terutama Pasukan Simpanan Khas (FRU) menggunakan cota, kasut but, perisai dan 'water cannon' untuk berhadapan dengan rakyat.

Peserta perhimpunan ditangkap tak ubah sebagai seorang penjenayah. Sedangkan penjenayah sebenarnya terlepas bebas sehingga berjaya meneruskan kerjaya sebagai penculik kanak-kanak.

Terfikir sejenak. Dalam kes penculikan dan pembunuhan kanak-kanak, mengapa polis masih belum berjaya menangkap penjenayah terlibat?

Apakah anggota polis di negara Islam Hadhari ini hanya dikhaskan untuk mengintip dan menangkap sesiapa saja yang bersekongkol dengan pembangkang PAS, KeADILan dan DAP?

Perbualan penulis dengan seorang anggota polis wanita di hadapan Suria KLCC, beliau menyalahkan ibu bapa Sharline Mohd Nasar, 5, kerana cuai menjaga kanak-kanak tersebut.

Kenyataan polis wanita itu mengejutkan saya dan Pegawai Khas Pemuda PAS Pusat, Safarizal yang berada di hadapan beberapa anggota polis di hadapan Suria KLCC.

Safarizal berkata, "Kalau Sharlinie atau kanak-kanak yang diculik itu penyokong pembangkang mesti polis bertindak pantas dan cekap."

Malang polis di Malaysia hanya akur dan taat secara 'membabi buta' terhadap arahan pihak atasan untuk menangkap sesiapa saja yang bersengkokol dengan pembangkang.

Mereka hanya menjadi `pak pacak' menunggu arahan untuk bertindak terhadap rakyat. Tak ubah seperti seekor anjing yang terlalu patuh pada arahan tuannya.

Banyak kes yang membuktikan anggota polis terlalu ganas terhadap rakyat. Kes di Batu Buruk, Kuala Terengganu anggota polis menembak dengan menggunakan peluru hidup ketika meleraikan perhimpuanan aman.

Bagaimanapun, polis tersebut terlepas sedangkan mangsa tembakan rambang itu didakwa di mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Beginilah nasib rakyat Malaysia hidup di bawah kerajaan BN.

Pemimpin BN sedar rakyat mempunyai kuasa untuk menukar kerajaan. Sebab itu mereka menggunakan sepenuhnya kuasa polis untuk menahan kebangkitan rakyat.

Justeru, apakah rakyat masih rela diganasi oleh anggota polis?Jawapannya dalam keputusan pilihan raya umum ke-12.


NEGARA POLIS 08'

PMN ajak Menteri Pengajian Tinggi berdebat

KUALA LUMPUR, 28 Jan- Kebodohan dalam sejarah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hanya boleh disangkal jika Menterinya, Dato' Mustapa Mohamed sanggup berdebat secara terbuka (live) dengan Parti Mahasiswa Negara (PMN).

"Sila nyatakan di mana kawasan pertandingan anda di Parlimen/DUN. PMN mencabar Tok Pa (Mustapa) bertanding menentang suara mahasiswa," ujar Presiden PMN, Azlan Zainal dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily hari ini.

PMN menyelar sikap Mustapa yang mendesak mahasiswa agar berikrar untuk tidak melibatkan diri dengan parti-parti tertentu di peringkat nasional.

"Kenyataan Tok Pa kelmarin yang mendesak mahasiswa Malaysia supaya berikrar untuk tidak terlibat dengan parti-parti politik tertentu di peringkat nasional disifatkan sebagai kenyataan paling bodoh pernah keluar dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)," katanya.

Mustapa dilaporkan berkata semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari 10 IPT tempatan telah berikrar untuk tidak terbabit dengan kegiatan politik dan anti kerajaan di Kota Bharu kelmarin

PMN mendakwa pendirian dan sikap Mustapa terhadap perkara tersebut melambangkan kejahilannya yang begitu ketara apabila beliau masih menyalah gunakan Perkara 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

"Adakah hujah ini berpunca daripada kebodohan Tok Pa berhubung falsafah perundangan Negara? Apakah beliau tidak mengetahui konsep ketertinggian perlembagaan Malaysia yang menjamin hak bersuara mahasiswa termasuk bertanding dalam pilihan raya?

"Atau sebenarnya Tok Pa ini takut pada bayang-bayangnya sendiri sehingga terpaksa menggunakan Auku dan berlindung di sebalik kepimpinan MPP Institusi Pengajian Tinggi sekarang ini seumpama dicucuk hidung?" tegasnya.

Menurut Azlan, kenyataan dan sikap Mustapa memperlihatkan bahawa mereka seolah-olah takut untuk bersemuka dan berdepan dengan PMN.

"Kenapa beliau perlu takut bersemuka dan berdepan dengan PMN? Bukankah UMNO/BN terlalu kuat dalam pentas politik nasional?" katanya lagi.

Jelasnya, PMN hanya tidak lebih daripada kalangan mahasiswa yang mahu bertanding di atas kapasiti golongan mahasiswa secara demokratik dan melunaskan tanggungjawab sebagai warga negara

Tambahnya, apa yang lebih menghairankan, Mustapa dengan sewenang-wenangnya mengerahkan semua Naib Canselor dan Timbalannya di seluruh IPT agar mengenakan tindakan tatatertib Auku kepada mahasiswa yang terlibat dalam politik kepartian di peringkat nasional.

"Mahasiswa sudah lama menolak AUKU kerana ia terlalu bodoh untuk dipatuhi oleh mereka. Mengapa hari ini, PMN perlu tunduk pada akta yang bodoh ini?"

"Kami bukan budak suruhan Tok Pa yang sanggup diperbodohkan, tetapi kami mahasiswa yang merdeka dan sanggup berdepan dengan apa jua ugutan KPT demi mengasak agenda perubahan dalam pilihan raya ini," demikian ujarnya.


MAHASISWA UTMKL

Sabtu, 19 Januari 2008

Apex: Universiti perlu bebas dari cengkaman politik

KUALA LUMPUR, 18 Jan - "Tiada gunanya memiliki universiti yang hebat, tetapi mahasiswanya suram dan tidak berjiwa rakyat," demikian kenyataan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.



Dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Harakahdaily, beliau menekankan mengenai elemen yang perlu diambil kira oleh kerajaan bagi mencapai taraf universiti Apex.

"Pemuda PAS berharap agar Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) dapat mengambil kira soal kebebasan ahli-ahli akademik dalam membuat penyelidikan dalam semua aspek, termasuk kebebasan mereka memberikan pandangan terhadap isu-isu negara dan menerbitkan karya-karya mereka,"jelasnya.

Tambahnya, kebebasan mahasiswa juga harus menjadi pengukur dalam melahirkan universiti Apex kerana universiti adalah tempat melahirkan bakal pemimpin dlam semua bidang dan mahasiswanya harus dibenarkan untuk bergiat cergas dalam semua aktiviti yang mencetuskan inovasi.

"Namun hari ini, campur tangan politik begitu luas sehingga mahasiswa terkongkong dengan teruk," katanya.

Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan bahawa untuk melahirkan penyelidik atau ahli akademik bertaraf dunia yang berupaya mencapai taraf Nobel Laurete, kerajaan perlu menerima hakikat bahawa ahli akademik dan universiti tidak boleh dijadikan tempat pengukuhan pengaruh politik pemerintah.

Justeru, beliau menyarankan agar kerajaan membebaskan semua universiti daripada campur tangan politik yang selama ini membantutkan perkembangan akademik.

Pada masa yang sama, Salahuddin menyatakan bahawa Malaysia pernah memiliki ahli akademik bertaraf dunia seperti Sasterawan Negara, Prof Shahnon Ahmad yang pernah disebut sebagai calon Anugerah Nobel.

"Malangnya, orang-orang hebat ini tidak berpeluang mengembangkan pencapaian mereka di universiti Malaysia kerana permainan politik kerajaan Umno-BN ekoran sikap mereka yang tidak profesional terhadap dasar BN," katanya lagi.

Malaysia pernah berbangga kerana Universiti Malaya disenaraikan sebagai universiti ke-89 terbaik dunia oleh THES Ranking pada 2004, tetapi oleh kerana terdapat terlalu banyak politiking, pencapaiannya mulai merosot dengan teruk.

Walau apapun, Pemuda PAS ujarnya menyokong penuh hasrat kerajaan untuk mewujudkan Universiti Apex sebagai langkah untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.


siswa terkongkong 08'

Rabu, 16 Januari 2008

KPT diingatkan agar tidak diperalatkan pihak tertentu...

KUALA LUMPUR, 16 Jan - Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diingatkan agar tidak membiarkan diri mereka dipergunakan untuk kepentingan politik mana-mana pihak.

Pandangan tersebut dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Shafie Abu Bakar ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Prof Dr Hassan Said kepada semua Naib Canselor seluruh institusi pengajian tinggi awam supaya menghantar seramai 40 orang pelajar bagi setiap universiti menghadiri satu program anjuran Puteri Umno 13 Januari lalu.

"Jangan dipergunakan oleh pihak parti pemerintah untuk kepentingan mereka, meskipun ditekan dan dipaksa kerana mereka adalah merupakan pegawai kerajaan," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tegasnya, pihak kerajaan Umno-BN bersikap 'double standard' yakni berat sebelah apabila mereka sendiri yang sebelum ini tidak membenarkan penglibatan mahasiswa dengan parti politik sebaliknya menjadi pihak yang melanggar peraturan yang telah dibuat.

"Hal ini membuktikan bahawa kerajaan tidak serius dalam setiap penguatkuasaan terhadap undang-undang yang dibuat, apatah lagi ia sepatutnya memberikan perhatian terhadap usaha pembinaan kualiti graduan yang bermutu," katanya lagi.

Shafie yang juga merupakan bekas pensyarah Jabatan Persuratan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan bahawa KPT kini tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengangkat martabat pengajian tinggi.

"Mungkin inilah yang menjadi punca tidak ada satu pun IPTA negara kita disenaraikan antara 200 universiti terbaik dunia," jelasnya.

KPT ujarnya tidak wajar bertindak bersekongkol dengan parti politik tersebut yang secara jelas membuktikan penyelewengan dan salah guna kuasa yang diberikan kepada mereka.

Shafie juga menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh pihak Umno-BN terhadap institusi pengajian tinggi sememangnya diketahui umum kerana mereka dengan bebas keluar masuk mengadakan program bersama mahasiswa di dalam kampus.

"Kita mendapat maklumat bahawa banyak program dianjurkan oleh Puteri Umno untuk mahasiswa di dalam UKM apatah lagi menggunakan tenaga kerja mahasiswa terbabit untuk kepentingan mereka," demikian ujarnya.

Malahan, tambahnya tidak hairanlah jika Puteri Umno mengerahkan mahasiswa bekerja untuk mereka semasa pilihan raya diadakan.

"Pihak universiti khususnya UKM juga membenarkan Umno-BN menggunakan kemudahan-kemudahan seperti dewan besar dan kuliah untuk menjalankan aktiviti mereka, parti-parti politik selain mereka tidak diberikan kebenaran sama sekali," tambahnya lagi.

Seminar bertajuk 'REAL Undergraduate Student Conference' anjuran Pergerakan Puteri Umno Malaysia pada 13 Januari lalu di Dewan Plenari, Putrajaya Convention Center (PICC) itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Surat arahan program tersebut juga telah dibuat salinan kepada Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia bertarikh 2 Januari lalu.

Sebelum ini telah didedahkan bagaimana beberapa pemimpin kanan Umno Kelantan mengarahkan Timbalan-timbalan Naib Canselor universiti tertentu agar mengerahkan mahasiswa yang berasal dari negeri itu dalam satu majlis dialog bertujuan untuk memastikan pelajar berkenaan akan menyokong BN dalam pilihan raya akan datang.


SISWA PEKA

Kadar jenayah paling tinggi di Kedah

POKOK SENA, 15 Jan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid didakwa tidak melaksanakan tugas dengan baik selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri hingga menyebabkan kadar jenayah di negeri ini tercacat sebagai paling tinggi di seluruh negara.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar berkata, peningkatan sebanyak 45.01 peratus itu adalah yang paling tinggi di Malaysia, membuktikan jawatankuasa yang dipengerusikan Mahdzir gagal berfungsi untuk memelihara keselamatan rakyat di negeri ini.

"Sekarang tidak ada jaminan untuk rakyat negeri Kedah, kemampuan polis satu hal, tetapi jika persekitaran tidak boleh dikawal, ini menyebabkan jenayah kekerasan ini boleh meningkat mendadak," tegas beliau.

Haji Mahfuz yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah memberikan pandangan demikian dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Pokok Sena, berhubung laporan akhbar harian mengenai kadar kenaikan jenayah yang membimbangkan itu.

Katanya, jika dibandingkan dengan negeri jiran, MB Perlis, Shahidan Kassim lebih berjaya dari Mahdzir dalam mengawal keselamatan atas posisi beliau sebagai pengerusi majlis keselamatan negeri.

"Dalam mesyuarat mesti dibangkitkan perkara-perkara tersebut, tetapi Mahdzir tidak memandang serius dan hanya membiarkan angka itu terus meningkat; ini yang berlaku, jika tidak tentunya jumlah jenayah ini boleh diturunkan," sambung beliau lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kadar jenayah semakin meningkat didorong oleh peningkatan kos sara hidup dan tekanan kenaikan harga barang, sedangkan pendapatan rakyat tidak meningkat.

Kerajaan katanya, gagal membendung kenaikan kos sara hidup menyebabkan kesempitan kewangan; seterusnya mendorong segelintir rakyat mengambil jalan singkat melakukan jenayah.

"Bila berlaku kenaikan harga barang, kerajaan minta rakyat berjimat cermat; ini kenyataan yang amat melucukan dan tidak menyelesaikan masalah rakyat," sambung beliau lagi.

Selain itu katanya, pergolakan dan campur tangan samseng dalam institusi kepolisian terutamanya di Bukit Aman juga menggalakkan pelbagai kegiatan jenayah di kalangan masyarakat.

"Apabila samseng berkawan baik dengan polis, apa yang nak jadi pada negara?" soal Mahfuz.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga tidak menafikan bahawa apabila pegawai atasan polis termasuk Ketua Polis Negara didakwa mempunyai hubungan rapat dengan penjenayah; maka pihak atasan polis di peringkat negeri juga tidak boleh bertindak mengawal jenayah kerana mesti menunggu arahan dari Ketua Polis Negara.

"Akhirnya, negara ini akan hancur; budaya samseng, peras ugut, rasuah dan sebagainya akan bermaharajalela; rakyat akan menjadi lebih tertekan hidup di bawah kerajaan yang bersekongkol dengan penjenayah ini," ujar beliau lagi.


mahasiswa 0708